SERANGAN ke atas pasukan khas anti pengganas tentera Filipina menyebabkan tiga anggota unit terbabit terbunuh manakala sembilan lagi dilaporkan cedera, kata jurucakap tentera dan saksi.
Suspek yang tidak dikenali melancarkan serangan ke atas ibu pejabat sementara unit berkenaan di Pulau Jolo, yang merupakan kubu kuat kumpulan militan Abu Sayyaf.
“Ia adalah serangan bom dan insiden berbalas tembakan,” kata jurucakap tentera Kolonel Ramon Zagala kepada AFP dan menambah, identiti penyerang masih belum dikenal pasti.
Wartawan AFP di lokasi kejadian menyaksikan seorang mangsa berlumuran dadah di atas sebuah beca di tepi jalan hadapan ibu pejabat sementara Pasukan Briged Pertama yang mempunyai 1,500 anggota.
Filipina memperbaharui kempennya untuk memerangi kumpulan militan di Jolo tahun ini selepas sekurang-kurangnya seorang suspek pengebom bunuh diri menyerang gereja Roman Katolik di pulau berkenaan, menyebabkan 21 orang terbunuh.
Jurucakap tentera wilayah berkenaan Mejar Arvin Arcinas berkata, tiga anggota tentera terbunuh dalam serangan pada Jumaat dan sembilan lagi anggota tentera mengalami kecederaan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan pembabitan orang awam dalam insiden itu dan juga belum dapat mengenal pasti bahan letupan yang digunakan.
Jolo dan beberapa kawasan terpencil di selatan Filipina menjadi kubu kepada beberapa kumpulan bersenjata termasuk Abu Sayyaf yang terkenal kerana melakukan jenayah penculikan dan serangan bom.
Kumpulan militan berkenaan, yang meminta wang terbusan dalam jumlah yang besar serta pernah memenggal kepala beberapa tebusan, menyatakan kesetiaan mereka kepada kumpulan IS.
Pihak tentera telah mengerahkan unit khas ke bandar Indanan di Jolo sejak empat minggu lalu. – AFP, 28 Jun, 2019
Komen