Penunjuk perasaan serbu Kedutaan Bahrain di Iran


Ratusan penduduk Iraq memecah masuk ke perkarangan kedutaan Bahrain di Baghdad dan menurunkan bendera negara itu serta menggantikannya dengan bendera Palestin. – Gambar fail EPA, 28 Jun, 2019.

RATUSAN penduduk Iraq memecah masuk ke perkarangan kedutaan Bahrain di Baghdad dan menurunkan bendera negara itu serta menggantikannya dengan bendera Palestin, sebagai membantah penyertaan Bahrain dalam persidangan ekonomi anjuran Amerika Syarikat (AS) di Manama, lapor agensi berita Anadolu.

Sekumpulan orang ramai turut dilihat membakar bendera AS. Pasukan keselamatan Iraq campur tangan dan berjaya meleraikan perusuh berkenaan.

Menteri Arab Saudi bagi Hal Ehwal Negara Teluk, Thamer al-Sabhan menerusi Twitter berkata kejadian yang berlaku di kedutaan berkenaan adalah suatu yang amat dikesalkan.

Bahrain memanggil pulang dutanya ke Iraq untuk berunding berikutan kejadian berkenaan. Kementerian Luar Bahrain turut mengutuk serangan itu yang turut menyebabkan kerosakan pada bangunan.

Dalam satu kenyataan, ia menyatakan kerajaan Iraq bertanggungjawab memberi perlindungan terhadap kedutaan, konsulat dan petugas di Baghdad.

Bahrain – sebuah negara pulau di Teluk Parsi menjadi tuan rumah “Bengkel Keamanan untuk Kemakmuran” selama dua hari, bagi membincangkan aspek ekonomi dalam sebahagian daripada “Perjanjian Kurun” Presiden Donald Trump untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

Pihak Berkuasa Palestin mengumumkan ia tidak akan menyertai rundingan berkenaan dan mendesak negara lain di rantau itu supaya turut memulaukan acara berkenaan.

Sidang bermula pada Selasa dan dihadiri Bahrain selaku tuan rumah, Arab Saudi, Jordan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Maghribi.

Meskipun pegawai Israel tidak dijemput, ahli perniagaan dan beberapa wartawan menyertai bengkel yang diadakan itu.

Rundingan antara Palestin dan Israel gagal pada April 2014 selepas Israel enggan menghentikan aktiviti di tanah yang diduduki serta menerima penyelesaian pembentukan dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967.

Israel juga ingkar terhadap janjinya membebaskan tahanan Palestin dari penjaranya. – Bernama, 28 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen