Kebakaran sekolah agama di Seremban mungkin disebabkan pendawaian rosak


Noel Achariam

Siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati asrama Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Chengkau, Seremban disebabkan oleh pendawaian elektrik yang rosak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 28 September, 2017.

PENDAWAIAN yang rosak disiasat sebagai punca kebakaran asrama Sekolah Tinggi Islam As Sofa di Chengkau, Rembau, Seremban pagi ini, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan Norazam Khamis berkata ini berdasarkan siasatan awal mereka dan tambah beliau lagi kebakaran ini bukan disebabkan bahan mudah terbakar.

“Seorang saksi mengatakan melihat percikan api dari litar elektrik. Tetapi masih awal untuk kami beritahu kerana banyak lagi pemeriksaan perlu dibuat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kejadian ini berlaku tidak sampai sebulan selepas tragedi kebakaran pusta tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa.

Hari ini, enam remaja berusia antara 12 dan 18 tahun yang merupakan suspek kebakaran itu didakwa atas kesalahan bunuh dan penyalahgunaan dadah.

Dalam kejadian awal pagi tadi, kesemua 37 pelajar, dua warden dan dua pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan diri. Bagaimanapun, tiga pelajar dibawa ke Hospital Tampin dan menerima rawatan pesakit luar selepas terhidu asap. Mereka juga dilaporkan menghidap penyakit asma.

Kebakaran itu dikesan oleh salah seorang warden pada jam 1.50 pagi.

Norazam juga berkata bangunan asrama yang 80% musnah itu tidak berdaftar dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menururt Pengetua As Sofa, Nor Badrulzaman Nordin, semua pelajar telah dihantar pulang ke rumah keluarga masing-masing.

“Pelajar-pelajar berkenaan yang berumur antara 13 dan 17 tahun, kebanyakannya dari Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya.

Dia juga berkata As Sofa bukanlah sebuah sekolah tahfiz kerana ia didaftarkan di bawah Jabatan Pendidikan Negeri.

“Ini sekolah swasta yang mengajar Al-Quran,” katanya. – 28 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen