Pasir Gudang bakal terima sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik


Ragananthini Vethasalam

Dengan kualiti udara yang lebih teruk dari kawasan lain, Pasir Gudang bakal menjadi kawasan perindustrian pertama di negara ini menerima sistem pemantauan alam sekitar automatik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 28 Jun, 2019.

DENGAN kualiti udara yang lebih teruk dari kawasan lain, Pasir Gudang bakal menjadi kawasan perindustrian pertama di negara ini menerima sistem pemantauan kualiti persekitaran automatik 

Menteri Tenaga, Sains, Perubahan Iklim dan Teknologi Yeo Bee Yin berkata, pembangunan di daerah itu yang merupakan lokasi kepada 250 syarikat kimia adalah tidak selari.

Menurutnya, kementerian sedang mengambil serius perkembangan dan isu alam sekitar di daerah ini.

Untuk itu, kementerian akan melaksanakan beberapa langkah pengurangan yang akan dilaksanakan menjelang akhir tahun.

“Pasir Gudang mempunyai asas kualiti udara paling tercemar dari kawasan lain di Malaysia.

“Daerah ini akan menjadi kawasan perindustrian berat pertama di negara ini menerima sistem pemantauan alam sekitar. Reka bentuk dan struktur stesen ini akan diputuskan selepas kajian,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Di samping itu katanya, kerajaan negeri juga akan berusaha mewujudkan zon penampan antara kilang kimia, kawasan perumahan dan sekolah.

“Saya juga mengadakan sesi perbincangan dengan pemilik industri kimia di daerah itu pada Isnin ini,” katanya. 

Sementara itu dalam persidangan bersama hari ini, Yeo dan Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak berkuasa tidak dapat menentukan agen kimia yang menyumbang kepada pencemaran toksik beracun yang telah menjejaskan 748 orang di Pasir Gudang sejak minggu lalu.

Seramai 748 penduduk telah berdepan masalah kesukaran bernafas di mana 709 menerima rawatan pesakit luar manakala 39 orang dimasukkan ke hospital. 

Sementara itu, Yeo berkata tiga gas iaitu Methyl Mercaptan yang boleh menjejaskan kanak-kanak dan penghidap asma serta Acrylonitrile dan Acrolein dikesan dalam bacaan kualiti udara baru-baru ini yang diambil oleh kementerian.

Bagaimanapun katanya, ketiga-tiga ini tidak dapat dikesan dalam sampel darah dan air kencing yang diambil daripada pesakit. – 28 Jun, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen