KEMENTERIAN Sumber Manusia akan menggesa untuk mengesahkan perjanjian antarabangsa yang bertujuan menghapuskan gangguan seksual dan keganasan di tempat kerja walaupun pada mulanya tidak komited pada konvensyen tersebut.
Malaysia pada mulanya telah mengambil sikap neutral pada konvensyen 190 atau C190 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) berikutan perundingan dari kumpulan terbesar persatuan sektor swasta, MTUC dan Persekutuan Majikan Malaysia.
Kedua-dua kumpulan pada awalnya enggan mengesahkan perjanjian itu.
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, walaupun menyokong ratifikasi C190, Malaysia memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu ada konflik dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang merupakan pemegang kepentingan.
“Saya sebagai menteri bersetuju (untuk mengesahkannya) tetapi saya terikat dengan dua isu. Saya perlu berbincang dengan semua pihak berkepentingan dan perlu mendapatkan persetujuan Kabinet sebelum keputusan akhir dibuat.
“Kementerian sentiasa konsisten bahawa hak pekerja perlu dilindungi termasuk dari keganasan dan gangguan di tempat kerja,” katanya kepada wartawan malam tadi.
Menurut teksnya, konvensyen itu bertujuan menghapuskan semua bentuk keganasan dan gangguan terhadap mana-mana individu atau kumpulan di semua tempat kerja termasuk kafetaria, tempat letak kereta dan perjalanan luar stesen.
Selain golongan makan gaji, Konvesyen Keganasan dan Gangguan 2019 juga meliputi golongan kontraktor, pekerja sementara dan individu yang hadir untuk temu duga kerja.
Kulasegaran berkata, MTUC dan MEF enggan mengesahkan perjanjian itu kerana LGBTQ berada dalam senarai konvesyen.
Bagaimanapun selepas pindaan terakhir untuk menghapuskan golongan LGBTQ dari senarai itu, kedua-dua kumpulan bersetuju menerima konvensyen itu yang membawa kepada perubahan pendirian Putrajaya.
Setiausaha Agung MTUC J Solomon memberitahu The Malaysian Insight bahawa kumpulan itu awalnya tidak menandatangani konvensyen itu kerana salah tanggapan tetapi menolak untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan.
Beliau mengesahkan MTUC kini menyokong ratifikasi konvensyen berkenaan. – 28 Jun, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen