SEORANG wanita Korea Selatan yang merupakan seorang daripada badan penasihat kerajaan meninggal dunia hari ini di sebuah hospital di Barcelona tiga hari selepas cedera dalam kejadian rompakan di Sepanyol, kata polis.
Polis di rantau timur laut Catalonia Sepanyol dalam satu kenyataan berkata, akibat rompakan itu mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Sumber polis berkata, wanita itu dikatakan sedang berjalan berhampiran pantai di Barcelona yang merupakan bandar kedua terbesar di Sepanyol pada malam Isnin lalu apabila perompak menaiki motosikal bertindak ganas merampas dompetnya.
Kementerian Luar Negeri Korea Selatan dalam satu kenyataan berkata, wanita itu jatuh dan cedera parah di kepala.
Menurut media tempatan, wanita itu merupakan sebahagian daripada delegasi rasmi dari Korea Selatan yang datang melawat Barcelona.
Pasukan polis serantau Catalonia Mossos d’Esquadra sedang menyiasat untuk menangkap suspek.
Kes rompakan dompet, kamera dan barangan lain adalah perkara biasa di Barcelona yang diduduki sekitar 1.6 juta penduduk.
Sepanyol merupakan negara yang mempunyai kadar pembunuhan paling rendah di dunia, lebih rendah dari Jerma dan negara jirannya Perancis dan Portugal. – AFP, 28 Jun, 2019.
Komen