SEORANG wanita Amerika Syarikat (AS) yang mengalami keguguran selepas ditembak lima kali, didakwa oleh pihak berkuasa Alabama atas kematian bayinya, satu langkah yang dikutuk oleh kumpulan yang memperjuangkan hak menggugurkan kandungan.
Penahanan Marshae Jones itu berlaku ketika isu tentang pengguguran kandungan hangat diperkatakan selepas lebih 12 negeri di selatan dan barat AS termasuk Alabama meluluskan undang-undang sekatan pengguguran dan kini dicabar di mahkamah.
“Marshae Jones didakwa melakukan pembunuhan kerana gugur selepas ditembak di perut sebanyak lima kali. Penembaknya masih bebas. Kami akan keluarkan Marshae dari penjara,” kata The Yellowhammer Fund, satu kumpulan berpangkalan di Alabama yang memberikan bantuan kewangan kepada wanita yang mahu menggugurkan kandungan.
Jones, 27, ditembak pada Disember ketika terbabit dalam satu pergaduhan dengan seorang wanita lain. Penembak itu pada awalnya didakwa oleh juri agung, tetapi pendakwa menggugurkan kes itu dan sebaliknya pertuduhan dikenakan terhadap Jones yang ditahan kelmarin.
“Siasatan menunjukkan seorang saja mangsa sebenar dalam kes ini iaitu bayi dalam kandungan itu,” kata leftenan polis Danny Reid.
“Ibu bayi itu yang memulakan dan terus bergaduh menyebabkan kematian bayinya sendiri,” katanya.
Mei lalu, Alabama mengguna pakai undang-undang mengharamkan pengguguran walaupun dalam kes rogol atau sumbang muhrim, menyamakan ia dengan kes bunuh.
Undang-undang itu dikuatkuasakan pada November, tetapi ia mungkin dihalang di mahkamah kerana ia bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi AS lawan Wade pada 1973 yang memutuskan pengguguran boleh dilakukan. – AFP, 28 Jun, 2019.
Komen