6 paus hampir pupus ditemui mati di pantai Kanada


Enam ikan paus spesies North Atlantic yang hampir pupus ditemui mati di Teluk Saint Lawrence bulan ini, kata pihak berkuasa Kanada. – Gambar fail EPA, 28 Jun, 2019.

ENAM ikan paus spesies North Atlantic yang hampir pupus ditemui mati di Teluk Saint Lawrence bulan ini, kata pihak berkuasa Kanada.

Akibatnya, Jabatan Pengangkutan Kanada meluaskan arahan had laju kapal kepada 10 not di teluk itu dan menutup kawasan seluas 16,000 kilo persegi daripada aktiviti penangkapan ikan komersial.

Bangkai haiwan itu dibawa arus ke terusan itu dan terdapat peralatan pengesan satelit di badannya.

Petang semalam, Jabatan Perikanan dan Laut Kanada berkata pesawat mengesan satu lagi bangkai di kawasan semenanjung, tidak jauh dari teluk itu.

Dua bangkai dibawa ke pantai berhampiran di mana ujian dilakukan. Salah seekor daripadanya paus betina berusia 40 tahun, dikenal pasti oleh pakar biologi dan pernah diberi nama Punctuation, dipercayai mati kerana berlanggar dengan kapal.

Pihak berkuasa berkata mereka tidak dapat menentukan punca kematian bagi paus kedua, seekor paus jantan berusia sembilan tahun dinamakan Wolverine.

Beberapa siri bedah siasat akan dijalankan bagi bangkai paus yang lain.

Setakat ini jumlah populasi paus itu 412.

Kerajaan Kanada menggiatkan usaha menjejaki paus spesies itu menggunakan perkakasan pemantauan aerial dan marin, selain akustik laut – selepas lebih 12 ekor ditemui mati pada 2017 di pantai New England di Amerika Syarikat. – AFP, 28 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen