BOSAN dengan kurangnya jawapan dan jaminan daripada kerajaan negeri berkaitan isu pencemaran kimia di Pasir Gudang, ibu bapa dan persatuan masyarakat sivil mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk mengetahui punca sebenar masalah itu.
Pada Isnin, kerajaan negeri Johor mengarahkan semua sekolah ditutup sehingga semalam selepas lebih 300 pelajar mendapatkan rawatan kerana mengalami masalah pernafasan.
Walaupun beberapa ujian darah dijalankan terhadap mangsa, kerajaan dan Jabatan Kimia masih belum dapat menentukan jenis bahan kimia yang terlibat.
Mereka berkata sukar untuk mengenal pasti punca pencemaran kerana terdapat lebih 150 kilang kimia di Pasir Gudang.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Pasir Putih Ahmad Yusoff Suparman berkata amat penting untuk sesebuah RCI ditubuhkan bagi menangani kebimbangan rakyat.
“Kami mahukan RCI, tetapi mereka patut mulakan dengan Sg Kim Kim dan kemudian ke semua kawasan perindustrian di Pasir Gudang.
“Kami mahu jawapan kepada apa yang berlaku di sini kerana pihak berkuasa tidak begitu membantu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam episod pencemaran terbaru itu, 58 pelajar dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Ismail selama dua hari.
“Bagaimana kita hendak kata ia selamat untuk pelajar kembali ke sekolah. Bila kami kata tak mengapalah, kemudian kami kena lagi.
“Pihak berkuasa beri terlalu sedikit maklumat tentang apa yang berlaku. Kami terpaksa tunggu pengumuman mereka jika ia selamat,” katanya.
Kumpulan aktivis alam sekitar Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga mendesak Putrajaya menubuhkan RCI kerana terdapat dua insiden yang serius dalam tempoh kurang empat bulan.
Presiden SAM Meenakshi Raman berkata melihat kepada betapa seriusnya insiden itu, RCI amat penting untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab atas kemusnahan alam sekitar dan menjejaskan manusia, dibawa ke muka pengadilan. – 28 Jun, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen