INDONESIA dalam peringkat rundingan awal bersama Australia untuk membida sebagai tuan rumah bagi Piala Dunia 2034, kata persatuan bola sepak negara itu hari ini.
Kedua-dua negara membincangkan usul itu pada mesyuarat khas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di Laos, minggu lepas.
“Pada mesyuarat itu, kita setuju untuk menyertai Australia membida Piala Dunia,” kata jurucakap Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Gatot Widagdo.
Tiada sebarang ulasan dari Australia buat masa ini.
Widagdo berkata PSSI mula berbincang dengan persatuan bola sepak Australia selepas Thailand menarik diri dari bidaan bersama Indonesia untuk menjadi tuan rumah kejohanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) itu.
Rundingan antara Indonesia dan Australia itu diadakan beberapa hari selepas Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-O-Cha mengumumkan sepuluh negara Asean bersetuju untuk menganjur Piala Dunia 2034.
Indonesia juga bercadang untuk bekerjasama dengan Australia membida untuk menganjurkan Piala Dunia Bawah 20 bagi 2021, kata Widagdo.
Hanya satu kejohanan Piala Dunia pernah dianjurkan di Asia, iaitu Jepun dan Korea Selatan pada 2002.
Australia membelanjakan hampir Aus$46 juta untuk membida sebagai tuan rumah pada 2022 tetapi gagal. – AFP, 27 Jun, 2019.
Komen