AS perlu tampil dengan syor baharu, kata Korea Utara


Korea Utara hari ini menyatakan Amerika Syarikat (AS) seharusnya tampil dengan syor baharu andai ia benar-benar mahu meneruskan rundingan perlucutan senjata nuklear, sambil memberi amaran masa semakin suntuk untuk membuat keputusan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan negara itu pada hujung tahun ini. – Gambar AFP, 27 Jun, 2019.

KOREA Utara hari ini menyatakan Amerika Syarikat (AS) seharusnya tampil dengan syor baharu andai ia benar-benar mahu meneruskan rundingan perlucutan senjata nuklear, sambil memberi amaran masa semakin suntuk untuk membuat keputusan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan negara itu pada hujung tahun ini.

Menurut agensi berita Yonhap memetik laporan agensi berita pusat Korea Utara (KCNA), Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Amerika Kementerian Luar Korea Utara Kwon Jong Gun berkata rundingan nuklear yang tertangguh ketika ini tidak akan disambung secara automatik hanya disebabkan gesaan berulang kali oleh Amerika.

“Seperti ditegaskan Pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Negara ketika menyampaikan ucapan penuh bersejarah, Amerika seharusnya tampil ke meja dialog Korea Utara-Amerika dengan percaturan tepat dengan had masa adalah sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Pegawai itu turut berkata, Amerika seharusnya mempunyai sikap yang betul.

“Meskipun kami sedang memikirkan untuk mengadakan dialog dengan Amerika, kami juga perlu terlebih dulu melihat pendekatan sesuai yang diambil Amerika berhubung rundingan itu. 

Rundingan perlu dijalankan dengan keadaan rakan rundingan turut mempunyai komunikasi yang baik dan ia juga mungkin boleh dijalankan hanya apabila Amerika tampil dengan mengemukakan syor balas,” katanya.

“Jika Amerika berhasrat untu sekadar berpeluk tubuh seperti hari ini, masa mungkin tidak cukup. Begitu juga andai Amerika mahu bergerak ke arah menghasilkan keputusan, masa tidak juga mencukupi,” katanya.

Pada April lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un berkata, beliau akan menunggu Amerika mengambil keputusan ‘berani’ sehingga hujung tahun ini, membayangkan gesaannya terhadap Washington supaya mengendurkan tuntutan perlucutan senjata nuklear yang dianggap Pyongyang sebagai syarat sepihak. – Bernama, 27 Jun, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen