30% majikan dikenal pasti langgar undang-undang


Sheridan Mahavera

Menteri Kementerian Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, kira-kira 30% majikan didapati melanggar undang-undang buruh sama ada tidak membayar gaji minimum atau membuat sumbangan sosial dan persaraan sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2019.

KIRA-KIRA 30% majikan didapati melanggar undang-undang buruh sama ada tidak membayar gaji minimum atau membuat sumbangan sosial dan persaraan sosial, kata Kementerian Sumber Manusia.

Menteri M Kulasegaran berkata, pemeriksaan dilakukan oleh Jabatan Tenaga Manusia minggu lepas di 274 syarikat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak melibatkan 3,207 pekerja tempatan.

Pemeriksaan mendapati 43 daripada semua majikan tidak mematuhi peraturan gaji minima sebanyak RM1,100 sebulan yang diperkenalkan tahun lepas sementara 51 lagi tidak memberi caruman untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kulasegaran berkata, alasan umum yang diberikan oleh majikan yang tidak membayar upah minimum, Perkeso atau KWSP adalah kerana pekerja juga tidak mahukannya.

“Tetapi kami memberitahu di bawah undang-undang mereka perlu membayar KWSP dan Perkeso. Pekerja dan majikan perlu sama-sama membuat bayaran,” katanya kepada pemberita di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan hari ini.

Beliau menambah, kementerian memberi syarikat berkenaan tempoh penangguhan kira-kira sebulan untuk mematuhi peraturan dan jika gagal mereka akan dibawa ke mahkamah.

“Kami tidak mahu membawa mereka ke mahkamah tetapi kami minta mereka mematuhi peraturan akhir bulan ini.

“Kami menasihati mereka terlebih dahulu dan dalam masa dua hingga tiga minggu kami akan datang lagi membuat pemeriksaan. Kemudian kita akan mengambil tindakan sekiranya peraturan masih tidak dipatuhi,” katanya. – 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen