535 orang maut dilanggar kereta api di Dhaka akibat fon kepala


Kira-kira 1,000 orang di Bangladesh mati setiap tahun akibat kemalangan atau bunuh diri di landasan kereta api yang kebanyakannya tidak berpagar. – Gambar fail AFP, 27 Jun, 2019.

DI Dhaka, seramai 535 orang terbunuh sejak 2010 akibat dilanggar kereta api ketika melintas landasan sambil mendengar lagu menggunakan fon kepala, kata polis.

Kira-kira 1,000 orang di Bangladesh mati setiap tahun akibat kemalangan atau bunuh diri di landasan kereta api yang kebanyakannya tidak berpagar.

Polis berkata kebelakangan ini semakin ramai pejalan kaki mendengar lagu atau bercakap di telefon bimbit menggunakan fon kepala di negara itu, yang mengundang risiko kepada mereka.

“Negara ini mengharamkan berjalan di atas landasan sambil menggunakan fon kepala. Masih ramai yang tidak mengendahkan larangan dan maut di langgar kereta api,” kata ketua polis di stesen kereta api Dhaka, Yeasin Faroque Mozumder.

Tahun 2014 mencatatkan rekod kematian tertinggi iaitu 109 orang. 

Timbalan ketua polis, Morshed Alam berkata untuk meningkatkan kesedaran, mereka mengedarkan risalah dan memberi amaran kepada orang ramai menggunakan pelaung suara.

“Tapi orang ramai masih juga berjalan atas landasan seolah-olah tak bimbang akan mati,” katanya. – AFP, 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen