Kerajaan AS tak ambil tindakan terhadap berita palsu, kata Zuckerberg


Mark Zuckerberg berkata pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap kandungan palsu mengenai politik di platform media sosial Facebook selepas pilihan raya 2016. – Gambar EPA, 27 Jun, 2019.

MARK Zuckerberg berkata pihak berkuasa gagal mengambil tindakan terhadap kandungan palsu mengenai politik di platform media sosial Facebook selepas pilihan raya 2016.

Ketua pegawai ekesekutif (CEO) Facebook itu berkata beliau teruk dikritik kerana didakwa tidak bersungguh-sungguh menangani berita palsu serta menyeru kerajaan mengawal data peribadi dan kempen politik.

“Sebagai sebuah syarikat swasta kami tidak berupaya menghentikan kerajaan Rusia…kerajaan kita yang boleh mengenakan tekanan terhadap Rusia,” katanya semasa ditemu bual di Aspen Ideas Festival di Colorado, semalam.

“Selepas 2016 kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan, dunia lihat ini sebagai ‘ok’...pada dasarnya kerajaan tidak mengambil tindakan ketat.”

Zuckerberg juga berkata Facebook sedang berusaha untuk mencari jalan untuk manangani video deepfake (video yang dirakam seolah-olah benar) yang berpotensi untuk menipu dan memanipulasi pengguna.

Beliau bercakap mengenai kebimbangan orang ramai terhadap semakin banyaknya video deepfake yang dibuat menggunakan kecerdasan buatan (AI) supaya kelihatan tulen yang digunakan untuk memanipulasi pilihan raya atau mencetus rusuhan.

Awal bulan ini, Instagram memutuskan untuk tidak menurunkan video mengenai Zuckerberg dan menegaskan beliau tidak akan diberi layanan istimewa.

Walaupun platform dalam talian terbuka kepada kebebasan bersuara, pada masa yang sama berusaha untuk mengekang berita dan maklumat palsu. – AFP, 27 Jun, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen