Hiasan dinding di pejabat Lim Guan Eng jadi tumpuan


Ragananthini Vethasalam

Paparan bunting merah bertulisan Cina di pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng telah mendatangkan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. – Gambar Twitter, 27 Jun, 2019.

GAMBAR hiasan dinding di pejabat Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dikongsi di laman sosial Twitter telah mendapat perhatian dalam kalangan pengguna media sosial. 

Gambar bunting merah bertulisan Cina itu dilihat ketika menteri itu berkongsi gambar kunjungan Presiden Microsoft Corp Andrea Della Mattea semasa lawatan rasminya.

Lim berkata, gambar-gambar itu diambil ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina.

Beliau juga mempersoalkan mengapa sesetengah pihak hanya memilih untuk mengetengahkan hiasan di dinding dan bukan ayat-ayat al-Quran yang terdapat di pejabatnya.

“Kenapa hanya publisitikan ini sedangkan ada ayat al-Quran juga di pejabat saya?

“Ini dilakukan semasa sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Gambar yang dipaparkan di laman sosial Twitter bertarikh 25 Jun itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna media sosial.

“Kenapa ada bunting merah tulisan cina? Apakah wajar pejabat menteri kewangan buat begitu? Mengapa tidak digantung bendera Malaysia?,” tulis pengguna Twitter Indera Putera.

Seorang lagi pengguna Twitter yang dikenali sebagai Rey-Yan turut meninggalkan komen dengan mengatakan Malaysia negara Islam dan Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Ini negara Islam dan bahasa Melayu kebangsaan negara. Kenapa letak bunting bertulisan Kantonis? Mana kesetiaan kamu dan contoh kesetiaan kepada raja serta negara? Sangat memalukan. Ia tidak akan berlaku di Singapura. Bumiputera akan melawan hal ini. Ingat!,” tulis pengguna berkenaan.

Bagaimanapun terdapat pengguna lain yang menyokongnya.

“Adakah anda lupa tentang tulisan Arab yang terletak di belakang meja kerja beliau?,” tulis Calvin Yong Lin di Twitter.

Sementara itu Nor Adzlan memberitahu Lim untuk mengabaikan komen yang berunsur perkauman.

“YB bilik anda cantik. Peningkatan Ong (kemakmuran) akan membantu mengurangkan hutang. Sebagai Melayu pintar, kami menghormati budaya orang Cina di Malaysia. Abaikan komen bersifat perkauman. Itu pejabat anda dan anda ada hak untuk menghiasnya,” tulis lelaki berkenaan. – 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen