2 kolam mandi awam ditutup di Perancis kerana burkini


Berlaku perbalahan tentang burkini di Perancis menyebabkan dua kolam awam ditutup walaupun musim panas sedang melanda. – Gambar fail AFP, 27 Jun, 2019.

DUA kolam renang perbandaran di tenggara Perancis ditutup, walaupun berdepan gelombang kepanasan, selepas berlaku pertelingkahan berhubung penggunaan burkini, kata datuk bandar Grenoble semalam.

Pada Ahad dan bulan lalu, wanita Islam yang memakai burkini mandi di kolam berkenaan atas inisiatif kumpulan hak asasi Alliance Citoyenne, walaupun pemakaian baju mandi yang menutup aurat itu dilarang.

Pengawal di kolam renang meminta ia ditutup kerana mereka mahu mengekalkan keamanan dan tidak boleh berbuat demikian apabila perlu bimbangkan mengenai orang ramai, yang tercetus akibat pakaian mandi kontroversi itu, kata dewan bandaran dalam satu kenyataan.

“Kami berusaha mencari penyelesaian positif kepada masalah itu,” menurut kenyataan.

Perbalahan itu adalah yang terbaru di Perancis berhubung burkini yang dipakai wanita Islam, dianggap ramai sebagai penindasan wanita di negara dengan undang-undang sekularisme ketat.

Perancis, negara Eropah paling ramai penduduk Islam, adalah yang pertama mengharamkan burqa di tempat awam pada 2011.

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah mengekalkan larangan itu pada 2014, menolak hujah pengharaman burqa melanggar kebebasan beragama.

Awal tahun ini, peruncit sukan Perancis, Decathlon, terpaksa menarik balik pelan menjual hijab untuk pelari selepas dikecam. – AFP, 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen