Pelakon Cuba Gooding Jr mohon mahkamah gugurkan kes raba wanita


Pelakon Cuba Gooding Jr yang dituduh meraba seorang wanita dalam sebuah bar di Manhattan, semalam menggesa kes itu digugurkan di mahkamah New York. – Gambar EPA, 27 Jun, 2019.

PELAKON Cuba Gooding Jr yang dituduh meraba seorang wanita dalam sebuah bar di Manhattan, semalam menggesa kes itu digugurkan di mahkamah New York.

Peguam Gooding memberitahu hakim rakaman kamera keselamatan di bar berkenaan jelas menunjukkan anak guamnya tidak bersalah, dan berkata perbicaraan membahayakan masa depan Gooding di Hollywood.

“Kehidupan Gooding terhenti. Ia berada pada butang berhenti.

“Penting bagi perkara ini digugurkan secepat yang boleh,” kata peguam Mark Heller, dipetik CBS News.

Namun hakim mahkamah jenayah New York, Keshia Espinal berkata beliau memerlukan lebih masa untuk membuat keputusan terhadap permohonan itu, dan memberitahu pendakwaan supaya membalas secara bertulis pada 17 Julai ini.

Gooding berdepan hukuman penjara setahun jika disabitkan bersalah dengan sentuhan paksa.

Beberapa media Amerika Syarikat melaporkan seorang wanita mendakwa Gooding meraba payudaranya.

Beberapa laporan menyatakan wanita kedua tampil dengan dakwaan aktor itu meraba punggungnya pada Mac 2008, juga di kelab malam di Manhattan.

Pelakon berusia 51 tahun itu ditahan pada 13 Jun selepas menyerah diri. Beliau dibebaskan lewat hari itu tanpa ikat jamin.

Gooding menang Anugerah Academy pada 1997 bagi lakonannya sebagai pemain bola sepak Amerika dalam filem Jerry Maguire. – AFP, 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen