Eropah makin panas, suhu cecah 40 darjah Celsius


Pakar kaji cuaca mengatakan udara panas dari utara Afrika menjadi punca gelombang panas yang terlalu awal tiba pada musim panas di Eropah. – Gambar EPA, 27 Jun, 2019.

PIHAK berkuasa mengeluarkan amaran apabila cuaca panas di Eropah semakin tinggi dengan suhu menuju 40 darjah Celsius.

Kepanasan melampau itu menyebabkan lalu lintas tersekat, kebakaran hutan tercetus dan memanaskan perbahasan berhubung tindakan berbogel di khalayak ramai ketika penduduk Jerman berbuat demikian kerana panas.

Tetapi pengeluar wain di Perancis mengalu-alukan cuaca panas kerana ia membantu menghasilkan arak lebih baik.

Pakar kaji cuaca mengatakan udara panas dari utara Afrika menjadi punca gelombang panas yang terlalu awal tiba pada musim panas di Eropah.

Mereka berkata ia mungkin menjadikan suhu meningkat lebih 40 darjah Celsius di Perancis, Sepanyol dan Greece hari ini dan esok.

Saintis memberi amaran pemanasan global berkaitan penggunaan bahan bakar fosil manusia menjadikan kepanasan lebih kerap berlaku.

“Suhu global semakin meningkat disebabkan perubahan iklim.

“Peningkatan suhu global bermakna kemungkinan gelombang kepanasan melampau akan lebih kerap berlaku,” kata profesor sains iklim di Universiri of Reading, Len Shaffery.

Di Sepanyol, agensi kaji cuaca Aemet semalam berkata lima wilayah utara berdepan risiko penting dengan suhu dijangka mencecah 42 darjah. – AFP, 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen