Namakan pakaian dalam ‘Kimono’, Kim Kardashian buat Jepun marah


Kim Kardashian menamakan rangkaian pakaian dalam rekaannya sebagai Kimono, mencetuskan perdebatan hangat media sosial terutama di Jepun. – Gambar AFP, 26 Jun, 2019.

BINTANG televisyen Amerika Kim Kardashian mencetuskan perdebatan hangat di Jepun selepas menamakan rangkaian pakaian dalam rekaanya sebagai “Kimono”, mencetuskan dakwaan beliau tidak menghormati pakaian tradisi itu.

Ikon budaya pop itu mengumumkan “Kimono” di Twitter, mendedahkan bahawa beliau bekerja selama setahun untuk projek pakaian dalam itu bagi menawarkan “penyelesaian kepada wanita yang bekerja”.

Bagaimanapun, pengumuman itu meraih reaksi bercampur baur di AS dan Jepun, dengan pengguna menggunakan tanda pagar #KimOhNo untuk membantah fesyen itu.

“Dia datang ke Jepun banyak kali. Saya terkejut. Dia tak hormat,” kata seorang pengguna Twitter di Jepun.

“Kerajaan Jepun perlu failkan bantahan terhadap Kardashian,” tulis seorang pengguna lagi.

Kimono secara hurufiahnya bermaksud “sesuatu untuk dipakai”, tetapi Kardashian menggunakannya untuk bermain dengan nama pertamanya, Kim.

Laman web pakaian itu tidak menawarkan sebarang penjelasan, Kardashian juga masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Tidak semua membantah penggunaan nama itu, sebilangan pengguna berhujah ia boleh jadi peluang promosi pakaian tradisi yang makin hilang pengaruh itu.

Dahulu ia pernah jadi pakaian harian Jepun, tetapi Kimono kini digunakan hanya untuk majlis tertentu seperti perkahwinan dan kebanyakannya dipakai wanita.

Wanita sering mengupah pakar untuk memakaikan mereka kimono kerana teknik pemakaiannya yang rumit dan sukar. – AFP, 26 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen