LIMA pemburu haram tempatan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Rakyat di Cuong Con Cuong di wilayah pusat Nghe An kerana melanggar peraturan perlindungan spesies haiwan dilindungi, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Tertuduh Lo Van Hang dan Vieng Van Thuy masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat dan tiga tahun manakala Vieng Van Sinh pula dijatuhi hukuman 30 bulan.
Dua lagi tertuduh Lo Van Hau dan Vi Van Hai masing-masing dihukum penjara 24 bulan.
Menurut fakta kes pada 9 Januari lalu kesemua tertuduh menggunakan senjata buatan tangan dan perangkap untuk memburu haiwan liar di Taman Nasional Pu Mat di daerah Chau Khe, Con Cuong.
Dua hari kemudian, Hang dan Sinh menembak mati dua ekor monyet spesies Phayre’s langur.
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pemuliharaan Hidupan Liar Vietnam berkata kes berkenaan adalah yang pertama membabitkan aktiviti pemburuan haram di taman negara itu sejak 2005.
Ketua Taman Negara Tran Xuan Cuong berkata rangers dan kumpulan perlindungan hutan akan memperhebatkan rondaan di sekitar kawasan itu.
Selain itu, sejak akhir 2018 sebanyak 12 kelas latihan mengenai undang-undang perlindungan hutan untuk penduduk setempat.
Phayre’s langur disenaraikan sebagai haiwan terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Mamalia adalah endemik di Asia Tenggara. Ramai orang Vietnam membunuh haiwan liar untuk makanan.
Memburu, memasak, memperdagang, mengangkut atau membunuh haiwan liar yang dilindungi adalah dilarang di bawah undang-undang Vietnam. – Bernama, 26 Jun, 2019.
Komen