KEMENTERIAN Dalam Negeri akan menyerahkan keputusan membuka semula siasatan kematian Teoh Beng Hock kepada Jabatan Peguam Negara, kata Muhyiddin Yassin.
“Terpulang kepada AGC untuk putuskan. Kami sudah diberi taklimat tentang kes yang berlaku 10 tahun itu.
“Semua proses perundangan sudah disiapkan seperti mengadakan Suruhanjaya Siasatan Diraja dan membayar pampasan. Kami tiada apa lagi hendak buat,” kata menteri dalam negeri itu di Putrajaya hari ini.
“Tetapi, keluarga masih tidak berpuas hati walaupun mereka terima pampasan. Mereka mahukan lebih (siasatan baharu). Kerana itu, saya serahkan kepada AGC,” tambahnya.
Keluarga Teoh yang membentuk NGO Dana Teoh Beng Hock untuk Demokrasi mahukan kerajaan baharu membuka semula siasatan kematiannya yang berlaku 10 tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka tidak berpuas hati kerana kes itu kini disiasat kerana penahanan tidak sah.
Adik Teoh, Lee Lan diminta memberikan keterangan kepada polis baru-baru ini dibawa Kanun Keseksaan untuk kesalahan penahanan tidak sah.
Dana itu dan Badan Peguam sebelum ini mencadangkan kes itu disiasat di bawah kesalahan menyebabkan kematian.
Peguam Ramkarpal Singh berkata siasatan baharu ke atas kematian Teoh perlu memberi keutamaan kepada pembunuhan dan bukannya penahanan tidak sah.
Katanya, Peguam Negara Tommy Thomas perlu menjelaskan mengapa kes itu disiasat dibawah penahanan tidak sah walaupun wujud unsur pembunuhan dalam kematian Teoh pada 2009 ketika ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ramkarpal berkata sangat mengecewakan kes itu disiasat di bawah akta yang hukumannya lebih ringan walaupun Mahkamah Rayuan sudah memutuskan bahawa terdapat unsur pembunuhan dalam kes itu.
Teoh, 30, adalah setiausaha politik kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam selepas beberapa jam disoal siasat SPRM. – 26 Jun, 2019.
Komen