SAN Francisco semalam mengumumkan larangan ke atas pembuatan dan penjualan rokok elektronik susulan peningkatan ketara pengguna dari kalangan remaja.
Ini menjadikan San Francisco bandar utama di Amerika Syarikat (AS) melaksanakan undang-undang itu.
Majlis negeri sebulat suara meluluskan ordinan yang menggantung penjualan produk rokok elektronik di kedai atau dalam talian yang tidak mendapat kelulusan jabatan kesihatan.
Bagaimanapun, pengkritik berkata langkah itu akan menyebabkan perokok kembali menghisap rokok tembakau.
Jabatan kesihatan di AS bimbang dengan peningkatan populariti rokok elektronik yang mempunyai pelbagai perisa buah-buahan. Kegilaan rokok elektronik di kalangan remaja dibimbangi akan merencat perkembangan mereka.
Bilangan remaja AS yang menghisap rokok eletronik naik 1.5 juta pada 2018, di mana sekitar 3.6 juta melibatkan pelajar sekolah menengah.
Juul Labs, pengeluar popular bagi kebanyakan rokok elektronik di AS berada di San Francisco.
Peguam Dennis Herrera yang menyokong pengharaman itu berkata langkah tersebut sepatutnya telah lama dilaksanakan.
“Mengikut undang-undnag, rokok elektronik tidak dibenarkan berada di pasaran tanpa kajian FDA (Pentadbiran Makanan dan Dadah AS),” katanya dalam satu kenyataan.
“Atas sebab tertentu, FDA setakat ini enggan mematuhi arahan. Jika kerajaan persekutuan tidak bertindak, maka San Francisco akan bertindak.” – AFP, 26 Jun, 2019.
Komen