TURKI menyumbang AS$10 juta kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) untuk program bantuan Palestin, lapor agensi berita Anadolu.
Ditubuhkan pada 1949, UNRWA menghulurkan bantuan kecemasan kepada pelarian Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat Israel, Jordan, Lubnan dan Syria.
Bercakap pada persidangan komitmen bantuan di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dutanya ke Turki Feridun Sinirlioglu berkata 2018 adalah tahun paling mencabar buat UNRWA.
Katanya, Turki juga akan menyalurkan AS$1 juta untuk tabung Dana Wakaf Pertubuhan Kerjasama Islam yang diluluskan PBB awal tahun ini selepas Amerika Syarikat (AS) memotong peruntukan untuk UNRWA.
Sebelum itu, Washington adalah penyumbang terbesar UNRWA, menyediakan kira-kira AS$350 juta setiap tahun bersamaan satu perempat anggaran tahunan agensi itu.
UNRWA bertanggungjawab melaksanakan beberapa program bantuan kecemasan untuk lebih lima juta rakyat Palestin, menyediakan kelengkapan persekolahan, perkhidmatan kesihatan dan keselamatan makanan.
Agensi itu berdepan masalah kewangan sebelum AS bertindak mengurangkan jumlah sumbangan.
Julai lepas, jurucakap UNRWA mengumumkan agensi itu tidak akan memperbaharui kontrak lebih 100 petugasnya di Gaza selain kontrak puluhan juruteranya akan ditamatkan.
Menurut kesatuan pekerja UNRWA, pemotongan dana itu memaksa UNRWA menutup program kesihatan mentalnya yang mempunyai seramai 430 petugas bagi menyediakan perkhidmatan kepada pelarian Palestin di Semenanjung Gaza.
Dana yang disumbangkan Turki sebahagiannya digunakan untuk projek pembinaan semula, menurut Sinirlioglu.
“Jelas bahawa peranan UNRWA penting sehingga satu penyelesaian adil dan berkekalan dapat dicapai sesuai dengan resolusi PBB,” katanya. – Bernama, 26 Jun, 2019.
Komen