SEORANG doktor kesuburan di Kanada dibatalkan lesennya pada Selasa kerana menggunakan sperma yang salah, termasuk miliknya sendiri, untuk inseminasi pesakit selama beberapa dekad.
Inseminasi iaitu persenyawaan yang dilakukan tanpa hubungan seks dengan cara menyuntik sperma ke dalam uterus setelah pesakit gagal mendapatkan anak.
Perbuatan Bernard Norman Barwin dianggap “mengejutkan” dan “keji” oleh sebuah panel tatatertib Kolej Perubatan dan Pakar Bedah Ontario, yang juga didenda Can$10,000.
“Anda mengkhianati kepercayaan (pesakit anda) dan dengan tindakan anda sangat memberi kesan kepada individu dan keluarga mereka serta menyebabkan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki yang akan menjangkau generasi,” kata penyelia perubatan itu dalam keputusannya.
Doktor berusia 80 tahun tidak hadir semasa sesi pendengaran itu, tetapi diwakili peguamnya.
Barwin menamatkan lesen perubatannya pada 2014 selepas diputuskan didapati salah dalam kes sebelumnya kerana menghamilkan tiga wanita dengan sperma yang salah.
Dengan membatalkan lesennya, pengawal selia perubatan lain akan dimaklumkan jika beliau cuba mengamalkan perubatan dalam bidang kuasa lain.
Barwin juga menghadapi saman yang mendakwa terdapat 50 hingga 100 kelahiran dengan sperma yang salah, termasuk 11 kes di mana beliau menggunakan spermanya sendiri.
Salah lakunya diketahui selepas seorang anak yang dilahirkan melalui inseminasi curiga tentang latar belakang keturunannya dan turut didiagnosis dengan penyakit celiac yang merupakan satu penyakit genetik. Kedua-dua ibu bapanya tidak mempunyai penyakit.
Rebecca Dixon berkata beliau mengetahui perkara itu tiga tahun yang lalu pada usia 25 tahun yang Barwin adalah bapa biologinya.
“Pada masa itu, hidup saya berubah selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata penemuan itu juga menimbulkan ketegangan pada keluarganya.
Bapanya yang bergelut dengan isu kesihatan, “terpaksa menerima hakikat anak perempuan yang dibesarkan dan disayanginya sebenarnya bukan anak biologinya,” katanya.
“Ibu saya,” tambahnya, “terpaksa menerima sesuatu berlaku kepada tubuhnya tanpa diketahui, atau memberi keizinan kepadanya.”
Dixon berkata sering mencari orang yang kelihatan sepertinya, yang mungkin adalah “adik beradiknya”.
Setakat ini, beliau sudah menemui 15 orang “adik beradiknya” dan menjangkakan jumlahnya akan bertambah. – AFP, 26 Jun, 2019.
Komen