SELEBRITI YouTube Amerika Desmond Amofah, yang lebih dikenali sebagai “Etika”, ditemui mati di New York selepas hampir seminggu menghilangkan diri, kata polis pada Selasa.
Lelaki berusia 29 tahun itu dikenali di laman video kerana bermain dan mengkritik permainan Nintendo.
Sehari sebelum hilang, beliau membuatkan peminatnya bimbang dengan luahan hasratnya untuk membunuh diri dalam rakaman selama lapan minit.
Polis New York mengatakan beliau hilang selepas perbualan telefon pada jam 8 malam 19 Jun.
Polis melancarkan rayuan kepada orang awam terhadap media sosial berserta gambarnya dalam usaha mencari Amofah yang tinggal di Brooklyn.
Mereka mengatakan pada petang Isnin, pegawai bertugas dihubungi ke kawasan South Street Seaport di selatan Manhattan susulan penemuan mayat terapung di permukaan air.
Selepas membawa mayat ke daratan, mangsa diisytiharkan mati di tempat kejadian, mereka memulakan siasatan dan kemudian mengenal pasti mangsa sebagai Amofah.
Beliau menyiarkan videonya di YouTube dan platform lain termasuk Twitch sejak 2012 dan mempunyai ratusan ribu pengikut, termasuk di Twitter dan Instagram.
Beliau kadang-kala bercakap mengenai masalah mentalnya, seperti dalam video terakhir bertajuk “Saya minta maaf,” yang menunjukkan beliau bersiar di jalan-jalan di New York bercakap tentang bunuh diri.
Video itu kemudian dikeluarkan oleh YouTube kerana melanggar peraturan platform, tetapi banyak pengguna mengongsinya. – AFP, 26 Jun, 2019.
Komen