JAMALUDDIN Abdul Malik menganggap perkara buruk itu sudah berakhir lebih tiga bulan lalu apabila anak-anaknya dimasukkan ke hospital dan terselamat dalam insiden pencemaran kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.
Namun kelegaan itu tidak lama apabila anak perempuannya yang berusia 13 tahun dikejarkan ke hospital kerana sukar untuk bernafas selepas sekali lagi terhidu gas beracun.
Episod kedua pencemaran ini bermula di Taman Mawar iaitu kira-kira 75 kilometer dari Sungai Kim Kim. Ia kini merebak dan penduduk berhampiran Sungai Kim Kim dan kawasan sekitar kini berdepan ancaman gas beracun.
“Saya marah dan kecewa dengan kerajaan negeri kerana gagal menyelesaikan isu ini.
“Kawasan ini selamat atau tidak? Adakah keluarga saya selamat untuk tinggal di sini di Pasir Gudang,” katanya yang merupakan seorang peniaga kepada The Malaysian Insight.
Jamaluddin merupakan salah seorang daripada ibu bapa di Sungai Kim Kim yang terpaksa sekali lagi berdepan masalah pencemaran gas beracun.
Menurutnya, pada insiden pertama yang berlaku Mac lalu, empat anaknya - seorang bayi dan dua bersekolah rendah dan seorang anak remaja - dimasukkan ke wad selama empat hari di Hospita Sultan Ismail.
“Kali ni hanya anak perempuan saya dimasukkan ke wad, namun saya masih risaukan anak yang lain.
“Berapa lama perkara ini akan berterusan. Tolong beritahu kami.”
Pada Mac, lebih 5,000 orang dirawat kerana terdedah dengan gas beracun. 111 buah sekolah di Pasir Gudang juga diarahkan tutup selepas pelajar mula jatuh sakit.

Semua sekolah di Pasir Gudang sekali lagi diarahkan tutup sehingga esok. Ini berikutan lebih 300 pelajar dirawat kerana sukar bernafas dan muntah.
Sementara itu, pihak berkuasa telah memeriksa lebih 30 buah kilang di kawasan terbabit. Mereka percaya ada di antara kilang-kilang ini yang menghasilkan gas beracun.
Pemeriksaan dijalankan dalam lingkungan 15 kilometer dari Sekolah Agama Taman Mawar yang merupakan kawasan pertama pelajarnya terkena gas beracun.
Jamaluddin berkata, ibu bapa hanya mahukan kebajikan anak-anak mereka terjamin.
“Kami berharap mereka dapat sediakan pemeriksaan kesihatan kepada anak kami setiap enam bulan. Sejak insiden Sungai Kim Kim kami tidak mendapat apa-apa,” katanya.
Seorang suri rumah Azalila A Samad, 45 berkata, dua anaknya berusia lapan dan 11 tahun dimasukkan ke wad selama tiga hari selepas muntah dan sakit kepala ketika insiden Sungai Kim Kim.
“Kami masih trauma dengan kejadian itu. Selepas kejadian terbaharu itu, saya segera keluarkan anak saya dari sekolah. Mereka mula muntah dan mengadu sakit kepala. Kami sangat risau.
“Saya juga jatuh sakit dan doktor berkata terdapat toksik dalam darah saya. Kami masih mengalami kesan daripada kejadia tiga bulan lalu,” yang tinggal di Taman Pasir Putih.
Azalila berkata, beliau akan membawa anak-anak ke sebuah hospita swasta di Kuala Lumpur beberapa hari untuk mendapatkan rawatan.
“Bukan kami tidak percaya dengan Hospital Sutan Ismail, tetapi ia selalu sesak.
“Kami harap dapat lebih maklumat di KL berhubung simptom yang kami alami.”

Saloma Hassan, 39 berharap kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara ini segera.
Menurutnya, dua anaknya dimasukkan ke wad selama tiga hari ketika insiden Sungai Kim Kim.
“Sebaik kami dengar insiden Taman Mwar, saya segera keluarkan anak dari sekolah.
“Namun sudah terlambat, mereka turut terkena gas beracun.
“Kami amat kecewa dengan kerajaan negeri. Adakah mereka tidak ambil pengajaran daripada insiden pertama?” katanya.
Saloma berkata, kawasan perindustrian di sekitar Pasir Gudang perlu dipindahkan.
“Ini adalah kawasan perumahan. Kami hanya akan selamat jika kilang di sini dipindahkan,” katanya.
Seorang bapa, C. Thiruchelvam, 38 berkata anaknya berusia 10 dan 12 tahun turut dimasukkan ke wad pada insiden pertama.
“Kami tidak sangka ia akan berulang.
“Mereka mengatakan Sungai Kim Kim sudah bersih tetapi kini kilang pula.
“Kawasan Pasir Gudang penuh dengan kilang dan apabila hujan keadaan makin teruk dengan gas yang terhasil di premis mereka.
“Kami harapkan sebarang bentuk pampasan untuk anak-anak. Ia bukan sebab wang tetapi untuk kebajikan dan kesihatan mereka,” kata Thiruchelvam. – 26 Jun, 2019

Komen