Kiamat media tradisional


Zainal Rashid Ahmad

“DALAM media sosial orang heboh benda lain. Hairannya, dalam media massa, yang dilapor isu lain pula!”

Ini ayat biasa kita dengar sejak sedekad lalu. Era bermulanya defisit pengaruh media massa terutama organisasi yang memilih dinaungi doktrinisasi dan editorial elitis.

Apabila internet memperkenalkan emel pada 1996, protes kawalan elitis maklumat mula dipecahkan. Maklumat alternatif berselerak dan era ‘meltizen’ pun bermula.

Akhbar yang mengetuai rejim media massa menjadi makin tergugah apabila aplikasi blog mula diperkenal pada 2002. Platform ini dipopularkan Blogger.com milik Pyra Labs. Melihat prospek ini, Google bertindak pantas membeli aplikasi bisnes ini pada tahun yang sama.

Media cetak langsung tidak mempedulikan era awal ‘meltizen’ dan blogger. Blog berkembang lebih pesat dan mula membina rangkaian komunikasi kewartawanan web. Pada waktu itu media tradisional menganggap – blogger bukan pesaing komersial.

Bloggers hanya mengembangkan trafik awam dalam komunikasi maklumat alternatif. Sebenarnya, walaupun tanpa nilai sen, platform ini meluaskan lagi empayar anti doktrinisasi media tradisional.

Walaupun tanpa ‘establishment’ jenama dan perolehan komersil, emel dan blog adalah titik kecil era meltizen dan bloggers muncul sebagai spartak baharu yang meluaskan empayar kewartawanan awam.

Kewartawanan emel muncul pada dekad kebebasan media dikawal secara melampau pada penghujung abad 20. Emel menjadi nadi utama dalam menggerakkan kebenaran maklumat dan mula popular sebagai komunikasi ‘underground’.

Manakala blogger mengisi alaf baharu dengan menjadikan kuasa editorial individu mampu mengugat doktrinisasi elitis yang dilihat sebagai *penipu dan pembohong* dalam ketulenan hegemoni informasi.

Era emel, blog dan portal

Emel, blog dan portal menjadi tiga kombinasi awal yang memulakan langkah komunikasi perkongsian maklumat awam tanpa patuh dan tunduk pada agenda media massa arus perdana.

Trio komunikasi alternatif atas talian ini mengenepikan penguasaan dominasi kawalan institusi media tradisional terutama agenda editorial yang bermotif politik. 

Istilah kewartawanan netizen menyusul empat tahun kemudian dengan munculnya Facebook pada 2006. Platform komunikasi awam yang melengkapkan impian kebebasan maklumat perjuangan generasi hippie sejak dekad enam puluhan.

Hippie dan gerakan anti doktrinisasi

Gerakan hippie di Amerika Syarikat (AS) bangkit menentang media massa yang dituduh berada dalam kawalan White House dan Pentagon.

Hippie diganyang media massa pro White House dan Pentagon pada kemuncak Perang Vietnam 1969. Pecinta woodstock dituduh kelompok anti sosial, penagih dadah dan pecandu seks bebas.

Aktivis hippie menyerang balas dengan menyelar White House dan Pentagon melalui CIA telah menjadikan media massa sebagai alat politik doktrinisasi. Terutama menyebarkan pengaruh polisi campur tangan ketenteraan AS di Indochina.

Hippie menuduh media massa AS sebagai pembohong dalam menyiarkan realiti maklumat mengenai peranan dan kekalahan AS dalam Perang Vietnam.

Media massa AS dituduh alat propaganda dan penyebar palsu. Selain menuduh media massa menyembunyikan kematian ratusan ribu tentera AS yang kalah di tangan Vietkong sepanjang 1969 hingga 1973. Pada era perarakan hippie dengan simbol ‘flower power’ di Ashbury Road, San Francisco - pelobi ‘peace’ berusaha membebaskan minda rakyat AS yang dikawal media massa.

Hippie menuduh, Presiden Richard Nixon dan kroni media massa AS membentuk rejim maklumat tunggal. Sejak itu, pejuang hippie mahu menghapuskan pendoktrinan awam melalui manipulasi media massa.

Gerakan hippie mencapai kemuncak pada 1969, apabila lebih 500,000 anak muda berkumpul di Bethel, New York.

Selain memprotes pembabitan AS dalam Perang Vietnam, era gelombang hippie ini turut menyebarkan idealisme kawalan elitis politik dan editorial media massa yang bersifat doktrinisasi.

Senjata tunggal hippie pada waktu itu hanyalah konsert muzik dan ucapan-ucapan anti Presiden Nixon.

Ikon Hippie dan revolusi mental

Era hippie sejak 1969 melahirkan John Lennon, Janis Joplin, The Who, Carlos Santana, Baez dan Jimi Hendrix sebagai hero pembebasan. Cuma, medium awal ideologi pembebasan ini terhad pada pengaruh muzik.

Malah, Ikon hippies terkenal, John Lennon perlu berkempen tidur bogel di ranjang untuk mendapatkan perhatian media.

Keterbatasan akses muzik dan konsert anti White House dan Pentagon, menyebabkan Lennon masih memerlukan perhatian media massa bagi menyebarkan faham anti doktrinisasi dan kawalan elitis.

Justeru, kempen sensasinya mendorong media massa memberikan liputan pada agenda anti perang Lennon. Walaupun lagu-lagu anti perangnya bergema setaraf dengan populariti idealogi folklore moden Bob Dylan.

Apa pun, pengaruh muzik pada era itu hanya mampu menyebarkan falsafah kebebasan awam. Namun, tidak mampu mengawal maklumat secara harian. 

Kejayaan anti doktrinisasi pasca hippie

Era hippie merudum selepas berakhir perang Vietnam pada 1973. Namun, generasi legasi hippie seperti Steve Jobs dan Steve Wozniak terus berusaha memenuhi aspirasi woodstock 1969.

Ketika pemberontakan ini berlaku, dua nama besar ini adalah anak muda pengikut hippie.

Tiga tahun selepas tentera AS meninggalkan Vietnam, Jobs dan Wozniak pada 1 April 1976, menubuhkan Apple Computer Inc. Usaha berasaskan teknologi maklumat demi meneruskan aspirasi legasi Asybury Road dan Ladang Bethel.

Jenama Apple Inc. tidak hanya berkembang kerana as‐ pirasi teknologi, tetapi dipacu iltizam pemiliknya yang mahu memecah monopoli White House dan Pentagon.

Aspirasi Jobs dan Wozniak serta pelbagai teknologi janaan idea Apples Inc., akhirnya mencapai kemuncak. Apple memacu perisian pembangunan digital. Namun, munculnya wira generasi milenial Mark Zuckerberg – memusnahkan kuasa elitis maklumat.

Facebook yang dilancarkan pada 2006, hanya memerlukan 10 tahun untuk dilanggan 2 bilion warga dunia. Ini menjadikan media tradisional tertinggal 10 tahun di belakang perjalanan waktu. Seterusnya menuju detik mati.

Akhbar AS dan UK pun gulung tikar

Tujuh tahun selepas blog hadir, dan tiga tahun selepas Facebook muncul, kesannya sangat menyengat. Media cetak di AS mengalami kemeruduman mendadak.

Pada 21 Mac 2009, akhbar tertua di AS, Tuscon Citizen ditutup. Diikuti akhbar Rocky Mountains News, Detroit Free Press dan The Detroit News.

Media sosial yang dipacu bloggers dan Facebookers menghapuskan doktrinisasi dan nilai elitis media tradisional. Kesannya merayap ke seluruh dunia dengan pantas.

Di United Kingdom, enam tahun selepas blog dan portal membina reputasi baharu sebagai agen maklumat, rangkaian empat akhbar utama terus lingkup.

Bermula dengan proses pengurangan tenaga kerja pada 2008, akhbar The Independent, Leicester Mercury, Bristol Evening Post dan Derby Telegraph gagal bertahan. Akhirnya, ditutup pada 2009.

Tamatnya era doktrinisasi dan suara elitis

Media tradisional mengalami defisit langganan di seluruh dunia. Malah, kesan domino ialah merudumnya pendapatan iklan. Di seluruh dunia, berita pengurangan tenaga kerja dan penutupan organisasi akhbar, bukan lagi kejutan.

Persoalannya: apakah ini terjadi kerana perubahan migrasi teknologi, atau masyarakat menolak warisan doktrinisasi dan suara elitis yang kekal menguasai editorial media tradisional?

Atau, apakah ini satu proses teknologi, atau sebenarnya protes ideologi? – 25 Jun, 2019


* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen