Tunang Khashoggi gesa siasatan antarabangsa 


Hatice Cengiz menggesa siasatan antarabangsa dilancarkan berhubung kes pembunuhan tunangnya, Jamal Khashoggi. – Gambar EPA, 25 Jun, 2019

TUNANG kepada wartawan Arab Saudi Jamal Khashoggi merayu agar diadakan siasatan antarabangsa berikutan terdapat bukti penglibatan individu berprofil tinggi dari Arab Saudi.

Khashoggi yang merupakan wartawan Washington Post dan warga Amerika Syarikat itu dibunuh pada Oktober tahun lalu oleh ejen risikan Arab Saudi di kedutaan negara itu di Istanbul, Turki ketika maahu mendapatkan dokumen untuk berkahwin dengan Hatice Cengiz.

“Terdapat keperluan segera bagi siasatan antarabangsa dalam pembunuhan ini,” kata Cengiz pada satu acara bersama Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Cengiz membuat kenyataan itu selepas pelapor khas PBB, Agnes Callamard, mendedahkan laporan yang menemukan “bukti kukuh” mengaitkan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman dalam pembunuhan itu.

Pakar bebas, yang tidak mewakili PBB namun melaporkan hasil dapatannya kepada pertubuan itu menggesa Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk memulakan siasatan jenayah antarabangsa ke atas kes itu.

“Saya tidak rasa dunia akan menutup mata atau tidak mempedulikan pembunuhan sebagaimana yang berlaku ke atas Khashoggi,” kata Callamard yang turut berada di program berkenaan.

Riyadh sebelum ini menafikan pengetahuannya berhubung kematian Khashoggi, namun selepas itu menyalahkan ejen risikan dan pihak pendakwaan turut membebaskan putera mahkota itu daripada dakwaan pembunuhan itu. – AFP, 25 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen