Majlis Keselamatan PBB gesa adakan dialog tamatkan ketegangan AS-Iran


Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat tertutup atas permintaan Washington bagi membincangkan isu pertelingkahan AS-Iran.– Gambar EPA, 25 Jun, 2019

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menggesa sesi dialog dan serta langkah yang perlu diambil bagi menghentikan ketegangan di negara Teluk, namun Iran menolak untuk mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat selepas Presiden Donald Trump mengenakan sekatan baharu ke atas negara itu.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dibuat di Kuwait, Majlis Keselamatan PBB menyelar serangan ke atas kapal tangki baru-baru ini, dan menyifatkan ia sebagai ancaman kepada bekalan tenaga dunia dan kepada keselamatan dan keamanan antarabangsa.

Selepas mesyuarat selama dua jam, majlis itu dalam satu kenyataan bersetuju agar semua pihak menjauhi daripada konfrontasi ketenteraan.

Pendirian bersama daripada negara kuasa besar dunia itu dibuat beberapa jam selepas Trump mengumumkan sekatan terhadap Iran, dan mensasarkan pemimpin Iran Ayatollah Ali Khamenei serta lapan komander tenteranya.

Ketika majlis itu mengadakan mesyuarat tertutup atas permintaan Washington, kedutaan Iran di PBB memberitahu pemberita bahawa syarajt yang dikenakan tidak cukup untuk sesi dialog diadakan dengan AS.

“Kamu tidak boleh mengadakan dialog dengan ancaman daripada sesuatu pihak, yang menakut-nakutkan kamu,” kata Duta Majid Takht Ravanchi, yang menyatakan keadaan masih belum sedia untuk dialog diadakan”.

Pihak majlis itu berkata, semua pihak dan semua negara di wilayah itu perlu “mengamalkan kekangan maksimum dan mengambil langkah serta tindakan untuk mengurangkan pertelingkahan dan ketegangan.”

“Ahli majlis menggesa sebarang perselisihan perlu diselesaikan secara aman menerusi dialog,” menurut kenyataan yang disokong oleh Rusia dan AS.

Britain, Perancis dan Jerman secara berkecuali turut menggesa untuk “mengurangkan ketegangan dan mengadakan dialog, dengan penuh rasa hormat kepada undang-undang antarabangsa.” – AFP, 25 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen