JABATAN Pendaftar Pertubuhan (RoS) akan menyiasat Umno atas dakwaan menerima wang dari dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata beliau tidak akan campur tangan dalam siasatan tersebut walaupun RoS berada di bawah kementeriannya.
“Jika RoS dapat laporan, RoS akan siasat, kena ada alasan kuat untuk sokong siasatan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri di Jabatan Imigresen di Putrajaya, hari ini.
“Saya tak tengok lagi laporan tetapi terserah kepada agensi dan jabatan untuk tentukan, itu di luar skop saya.”

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memfailkan saman melucut hak terhadap tujuh entiti dan individu di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saman tersebut sebagai sebahagian daripada usaha untuk menuntut RM270 juta dari 41 individu, syarikat dan pertubuhan, di mana RM212 juta dipercayai diberi kepada Umno.
Sementara itu, Muhyiddin berkata kementeriannya bersetuju dengan usul PDRM untuk menaikkan gaji anggota polis berpangkat rendah.
“Kita telah terima permintaan ini dan polis dah sebut yang gaju bagi anggota berpangkat rendah terlalu kecil. Tapi kita kena tengok dulu keadaan kewangan negara.
“Saya harap mereka akan bersabar. Dari pandangan kementerian, kita menyokong gaji anggota polis dinaikkan tetapi mesti dibawa dulu ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan agensi lain.
“Permintaan mereka supaya naikkan gaji dan elaun ini ada asas. Kita tengok dulu sebelum bawa usul ke Kabinet.” – 25 Jun, 2019.
Komen