KERAJAAN bakal menamakan anggota pasukan petugas khas yang akan membuka semula siasatan terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat esok, kata Muhyiddin Yassin.
Menteri dalam negeri itu berkata pasukan petugas berkenaan mempunyai masa enam bulan untuk menjalankan tugas.
“Mereka akan diberikan skop kerja yang selama enam bulan dan selepas itu kita akan melihat laporan daripada pasukan petugas khas ini,” kata Muhyiddin di luar acara sambutan Hari Raya Imigresen di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin dijangka mengumumkan anggota pasukan petugas khas di Putrajaya pada jam 1.30 petang esok.
Kabinet memutuskan bulan lepas untuk membentuk pasukan petugas khas bagi mengkaji hasil dapatan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam) berhubung kes kehilangan paksa.
Pada bulan April, panel siasatan secara bulat membuat kesimpulan bahawa Koh dan Amir adalah mangsa kehilangan melibatkan pihak berkuasa.
Panel itu juga berkata bukti langsung dan mengikut keadaan dalam kedua-dua kes membuktikan, dengan imbangan kebarangkalian, mereka diculik oleh agen negara, iaitu Cawangan Khas Bukit Aman.
Ia juga menggesa satu pasukan petugas khusus yang akan dibentuk untuk membuka semula kedua-dua kes sebagai kehilangan paksa, bukannya kes hilang.
Amri, yang merupakan pengasas NGO Perlis Hope, meninggalkan rumahnya di Kangar kira-kira pukul 11.30 malam pada 25 November 2016 menaiki SUV miliknya.
Koh, yang mengasaskan NGO Harapan Komuniti, dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B / 10 di Petaling Jaya pada 13 Februari, 2017, ketika dalam perjalanan ke rumah seorang kawan. – 25 Jun, 2019.
Komen