Terima keputusan antarabangsa kunci keamanan, kata Dr Mahathir


Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata berkata amat penting untuk negara anggota Asean mencari penyelesaian pertikaian dengan membawanya ke meja rundingan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 Jun, 2019.

PENERIMAAN Malaysia terhadap kekalahannya kepada Singapura hilang hak ke atas Pulau Batu Puteh adalah contoh saling menghormati yang diperlukan untuk negara hidup aman damai antara satu sama lain, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Katanya, walaupun Malaysia masih kuat merasakan haknya terhadap wilayah yang dipertikaikan itu, ia menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa kawasan itu adalah wilayah Singapura.

“Bila ada pertikaian, kita ke meja rundingan dan berbincang. Jika kita gagal, kita bawa ke arbitrasi atau ke mahkamah antarabangsa.

“Kami terima keputusan itu. Malaysia menang dalam tuntutan bertindih wilayah dengan Indonesia tetapi kalah pula dengan Singapura.

“Semua pihak menerima keputusan itu walaupun kami masih merasakan wilayah yang kami tewas itu, adalah hak kami,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 di Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata amat penting untuk negara anggota Asean mencari penyelesaian pertikaian dengan membawanya ke meja rundingan.

“Negara anggota tidak semestinya perlu bersetuju dengan semuanya untuk kita bekerjasama dengan baik. Apa yang penting ialah kita berkongsi prinsip asas saling menghormati, kerjasama, kesamarataan kedaulatan dan kemakmuran serta kesejahteraan serantau yang sama,” katanya.

Perdana menteri berkata 52 tahun selepas penubuhannya, Asean kini masyarakat maju dalam rantau yang stabil dan aman.

“Pertikaian dapat dikendalikan, walaupun masih ada beberapa yang belum lagi selesai,” katanya. – 25 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen