Pelaku yang cemar Pasir Gudang akan dikenakan tindakan keras, kata PM


Ragananthini Vethasalam

Walaupun selepas kejadian Sungai Kim Kim, masih ada industri yang tidak prihatin, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Jun, 2019.

KERAJAAN akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati menyebabkan pemcemaran di Pasir Gudang, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, insiden yang lebih kruang serupa dengan kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim pada Mac lalu menunjukkan pelaku terus tidak dikenakan tindakan keras.

“Sebab itu kita perlu kenal pasti siapa mencemarkan udara di situ dan ambil tindakan yang tegas terhadap mereka,” katanya kepada pemberita selepas sidang Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di Kuala Lumpur, hari ini.

“Malang sekali (ini masih berlaku). Walaupun selepas kejadian Sungai Kim Kim, masih ada industri yang tidak prihatin.”

Pencemaran toksik yang terkini itu bermula di Taman Mawar minggu lalu, kira-kira 7.5km dari Sungai Kim Kim, di mana insiden pertama direkodkan berlaku pada Mac.

Semua sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup hingga Khamis, lebih 300 kanak-kanak setakat ini mendapatkan rawatan kerana kesukaran bernafas dan muntah.

Dalam insiden Sungai Kim Kim, seorang warga Singapura dan dua rakyat Malaysia didakwa atas kesalahan membuang bahan kimia bertoksik di sungai berhampiran, yang menyebabkan lebih 5,000 penduduk sakit.

Kali ini, pihak berkuasa memeriksa 30 kilang kimia di kawasan itu, daripada sejumlah 265 kilang. Mereka percaya ada antara kilang itu yang bertanggungjawab menghasilkan toksik.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal semalam berkata toksik yang menyebabkan pelajar di Pasir Gudang sakit, akan diketahui dalam tempoh dua hari dengan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dalam kawasan 15km radius. – 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen