PENGERUSI Felda Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor letak jawatan kerana masalah kesihatan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Dia kata dia tak sihat dan sebab itu dia minta berhenti,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-33 di Kuala Lumpur, hari ini.
Sumber di Putrajaya juga sebelum itu memberitahu The Malaysian Insight, Megat Zaharuddin menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada kerajaan tiga bulan lalu atas alasan kesihatan.
Kenyataan Dr Mahathir itu menyusul pengesahan Felda bahawa Megat Zaharuddin mengumumkan peletakan jawatannya semalam.
“Pengerusi baru bakal diumumkan oleh menteri hal ehwal ekonomi kerana Felda adalah agensi yang bernaung di bawah kementerian tersebut,” kata kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Media melaporkan Megat Zaharuddin, yang dilantik sebagai pengerusi Felda pada 26 Jun 2018, akan melepaskan jawatannya pada 30 Jun ini.
Menurut media, dalam satu emel yang diedarkan kepada kakitangan semalam, Megat Zaharuddin memberitahu tugasnya sudah selesai selepas agensi tanah persekutuan itu kini bergerak dengan misi, visi dan nilai teras baharu.
Beliau juga menyebut sebahagian pelan transformasi yang diperkenalkan sudah berjaya dilaksanakan, kata laporan itu.
“Tiga berjaya dilaksanakan, tujuh masih lagi dalam proses penyelesaian dan selebihnya bakal menyusul selewat-lewatnya hujung 2019,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.
“Itulah perjalanan dan penglibatan saya selama berkhidmat di sini namun begitu perjalanan saya sudah sampai ke penghujungnya.
“Dengan itu pada hari ini, dengan berat hati saya ingin mengumumkan peletakan jawatan saya sebagai pengerusi Felda.
“Hari terakhir saya di agensi yang gemilang ini bermula pada 30 Jun 2019,” katanya.

Megat Zaharuddin menggantikan Shahrir Samad yang letak jawatan lima hari selepas Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.
Shahrir sebelum itu dibawa masuk ke Felda pada 6 Januari 2017 dengan mandat membetulkan kepincangan dan masalah di agensi tanah persekutuan itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14. Beliau menggantikan Isa Abdul Samad, bekas naib presiden Umno dan bekas menteri besar Negeri Sembilan.
Pada 14 Disember tahun lalu, Isa dituduh di mahkamah atas kes pecah amanah dan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta sebagai sogokan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC). Kes ditetapkan untuk bicara pada 7 Oktober ini.
Pada 10 April lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali membentangkan bagi pihak kerajaan Kertas Putih bertajuk “Ke Arah Kelestarian Felda”, yang turut memperkenalkan model baharu agensi tanah persekutuan itu.
Kertas Putih tersebut memperakui Felda berdepan masalah kewangan kesan kepincangan dalam dua syarikat miliknya itu FGV Holdings Bhd dan Felda Investment Corporation (FIC) Sdn Bhd.
Kertas Putih itu menyebut dua syarikat berkenaan “gagal mencipta kekayaan baharu disebabkan kepincangan tadbir urus dan kelemahan pengurusan pelaburan.”
Masalah kewangan Felda itu bermula selepas FGV Holdings Bhd, yang ketika itu dikenali sebagai Felda Global Ventures Holdings Bhd, disenaraikan di Bursa Malaysia pada Jun 2012 sehingga memaksa kerajaan campur tangan.
Melalui Kertas Putih itu, Putrajaya mengumumkan suntikan dana RM6.23 bilion kepada Felda secara berperingkat dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan mengikut keperluan. – 25 Jun, 2019.
Komen