18 penerbangan lewat, 7 ubah haluan akibat cuaca dan dron di Changi


Sebanyak 15 jadual perlepasan dan tiga ketibaan, dilewatkan dan tujuh lagi penerbangan diubah haluan dari Lapangan Terbang Changi, Singapura kerana cuaca buruk dan aktiviti dron haram. – Gambar EPA, 25 Jun, 2019.

KIRA-KIRA 15 jadual perlepasan dan tiga ketibaan, dilewatkan dan tujuh lagi penerbangan diubah haluan dari Lapangan Terbang Changi, disebabkan cuaca buruk dan aktiviti dron haram, menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) semalam.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, waktu ketibaan dan perlepasan penerbangan telah diaturkan dengan berhati-hati untuk satu tempoh singkat antara jam 2007 (8.07pm) dan jam 21:07 (9.07pm),” kata CAAS bagi menjawab soalan media mengenai satu kenyataan yang dikeluarkan selepas tengah malam.

CAAS memaklumkan yang siasatan kini sedang dijalankan.

Orang ramai diingatkan pihak berkuasa mengambil perhatian berat terhadap penggunaan pesawat tanpa pemandu, yang boleh mengancam penerbangan atau membahayakan keselamatan orang lain, dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

“Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak lebih S$20,000 atau dipenjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali,” kata pihak berkuasa itu.

Minggu lepas, CAAS mengesahkan pengesanan penerbangan dron di dalam kawasan Lapangan Terbang Changi pada 18 dan 19 Jun lepas, yang menyebabkan lapangan terbang itu beroperasi dengan satu landasan.

Kira-kira 37 jadual penerbangan ketibaan dan berlepas dilewatkan dan satu ketibaan di ubah haluannya ke Kuala Lumpur. – Bernama, 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen