MAJLIS Peralihan Tentera (TMC) di Sudan mengisytiharkan pembebasan semua banduan yang mengambil bahagian dalam pergerakan pemberontak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan timbalan pengerusi TMC pada Isnin.
Bercakap kepada orang ramai di Khartoum, Mohamed Hamdan Dagalo, yang juga ketua Pasukan Sokongan Pantas Sudan, berkata pengerusi TMC mengarahkan langkah itu pada Ahad malam dalam usaha membina keyakinan untuk proses damai yang ditunggu-tunggu.
TMC melantik Dagalo untuk mengetuai perbincangan dengan pergerakan pemberontak, yang disusuli rundingan tidak lama selepas itu.
“Misi kami ialah untuk berbincang dengan mereka (pemberontak) tidak kira di mana mereka berada, dan bagi meyakinkan mereka agar kembali ke Sudan serta bersama-sama merungkai punca peperangan di Sudan,” katanya.
Dagalo tidak menyatakan jumlah banduan yang dibebaskan namun kumpulan pemberontak menegaskan beribu-ribu orang kini berada dalam tahanan kerajaan.
Sambil menafikan kewujudan mana-mana tahanan politik di negara itu, beliau menegaskan bahawa semua tahanan sedemikian telah dibebaskan. – Bernama, 25 Jun, 2019.
Komen