Ketua pertahanan AS, Korea Selatan sahkan komitmen basmi senjata nuklear


Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat yang baharu, Mark Esper pada Selasa mengesahkan komitmen itu bersama Menteri Pertahanan Korea Selatan Jeong Kyeong Doo. – Gambar EPA, 25 Jun, 2019.

MENTERI Pertahanan Korea Selatan Jeong Kyeong Doo bercakap melalui telefon dengan pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Mark Esper pada Selasa dan mengesahkan komitmen mereka terhadap pakatan kukuh antara kedua-dua negara bagi membantu menggerakkan usaha pembasmian senjata nuklear, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian pertahanan.

Panggilan telefon dibuat pada hari pertama Esper memegang jawatan sebagai ketua pertahanan AS pada Isnin (waktu Washington).

Esper memberitahu Jeong bahawa beliau memutuskan untuk membuat panggilan itu kerana Korea Selatan adalah antara sekutu paling rapat AS, menurut kementerian itu.

“Kedua-dua pihak mengesahkan bahawa mereka akan terus menyokong usaha diplomatik kedua-dua negara ke arah pembasmian senjata nuklear di Semenanjung Korea berdasarkan pendirian pertahanan bersama yang tegas,” kata kementerian itu. 

Esper, yang berkhidmat sebagai setiausaha tentera darat, mengambil alih jawatan itu selepas pendahulunya, Patrick Shanahan, berundur susulan masalah keluarga.

Presiden Donald Trump turut mengumumkan hasrat beliau untuk mencalonkan Esper sebagai setiausaha pertahanan, menurut Rumah Putih pada Jumaat. – Bernama, 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen