SEORANG wanita berdepan tuduhan mencuri, selepas dia sendiri menyerahkan pistol milik suaminya, yang cuba melanggarnya dengan kereta kepada polis.
Susulan itu, seorang penggiat undang-undang, Anna Eskamani mendesak tuduhan terhadap Courtney Irby, 32, digugurkan.
Irby ditahan pada 15 Jun lalu dan ditahan selama beberapa hari di penjara.
Menurut akhbar Lakeland Ledger, Irby pergi ke pangsapuri suaminya untuk mengambil pistol itu, selepas lelaki terbabit ditahan kerana melanggarnya dengan kenderaannya.
Namun sebaliknya, Irby ditahan dan dituduh melakukan jenayah mencuri bersenjata.
Akhbar Lakeland Ledger juga melaporkan Irby mengemukakan permohonan injuksi terhadap suaminya dan pasangan itu kini dalam proses bercerai.
Eskamani yang juga wakil parti Demokrat di Dewan Perwakilan Florida antara beberapa individu yang menggesa pendakwa raya negeri Polk County supaya menggugurkan tuduhan itu.
“Irby hanya meminta bantuan Jabatan Polis Lakeland bagi melindungi diri dan anaknya.
“Kita seharusnya marah dengan berita penangkapannya (Irby), dan saya memohon pejabat anda (pendakwa raya) tidak mendakwanya.
“Tindakan mendakwa Irby akan menetapkan satu contoh yang amat menakutkan, kerana jika seseorang cuba melepaskan diri daripada didera, mereka akan dihukum atas perbuatannya itu,” kata Eskamani dalam surat kepada pendakwa raya negeri. – AFP, 25 Jun, 2019.
Komen