Ketua mafia Itali lari dari penjara Uruguay


Penjenayah paling dikehendaki Itali Rocco Morabito melarikan diri dari penjara di ibu kota Uruguay, menyebabkan operasi mencarinya dilancarkan besar-besaran. – Gambar AFP, 25 Jun, 2019.

MAFIA Itali Rocco Morabito melarikan diri dari penjara semalam, di ibu kota Uruguay, menyebabkan operasi mencarinya dilancarkan besar-besaran dan mencetuskan kemarahan kerajaan Itali yang menunggu dia diekstradisi.

Morabito dan tiga lagi rakan satu sel di penjara itu melarikan diri menerusi lubang di bumbung pusat tahanan polis di Montevideo, sebelum memecah masuk ke pangsapuri bersebelahan dan keluar ke jalan raya, kata Kementerian Dalam Negeri Uruguay.

Dalam satu kenyataan, ia berkata Morabito, 52, penjahat paling dikehendaki ditahan di Uruguay pada 2017 selepas berdekad melarikan diri – sedang menunggu untuk dihantar pulang ke Itali bagi berdepan pendakwaan pengedaran dadah antarabangsa.

Elida Ituarte, 70, wanita yang tinggal di tingkat lima pangsapuri bersebelahan penjara itu berkata beliau terkejut melihat empat lelaki di ruang tamu rumahnya pada tengah malam Ahad lalu.

Katanya, yang paling tua antara lelaki itu, dipercayai Morabito, memberitahu pemilik bangunan panggil mereka untuk baiki paip bocor.

Katanya, empat lelaki itu melompat masuk ke balkoninya daripada dinding penjara menggunakan dawai cukur.

“Saya biarkan tingkap terbuka, saya fikirkan selamat kerana saya tinggal sebelah penjara,” katanya.

Penjara itu dikenali sebagai Penjara Pusat Montevideo dan terletak di jalan yang sibuk, dikelilingi pangsapuri, restoran dan kedai.

Morabito – digelar “raja dadah” – salah seorang penjenayah paling dikehendaki di Itali ketika ditangkap di hotel Montevideo pada September 2017.

Peguamnya memberitahu wartawan pada masa itu, anak guamnya itu tinggal di situ sementara mencari pangsapuri baharu selepas bercerai dengan isterinya.

Mendaftar untuk kediaman baharu mungkin dapat membantu mencari Morabito yang melarikan diri sejak 23 tahun lalu. – AFP, 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen