MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa sesi dialog diadakan bagi mengakhiri ketegangan yang sedang berlaku di rantau Teluk.
Bagaimanapun, Iran enggan mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) selepas Presiden Donald Trump melakukan beberapa sekatan baharu ke atas negara itu.
Dalam satu kenyataan yang dirangka oleh Kuwait, UNSC turut mengutuk serangan ke atas beberapa kapal tangki dan menyifatkan ia sebagai satu ancaman terhadap bekalan minyak dunia, selain keselamatan serta keamanan dunia.
Selepas berlangsung selama dua jam, mesyuarat agensi badan dunia itu dalam satu kenyataan bersetuju untuk tidak menyalahkan Iran, tetapi dengan jelas meminta semua pihak mengelak konfrontasi berbentuk ketenteraan.
Kenyataan UNSC itu dibuat beberapa jam selepas Trump mengenakan sekatan baharu ke atas Iran, yang menyasar pemimpin Ayatollah Ali Khamenei dan lapan komander negara itu.
Ketika mesyuarat berlangsung secara tertutup atas permohonan Washington itu, Duta Iran ke PBB, Majid Takht Ravanchi memberitahu wartawan syarat yang dikenakan tidak memungkinkan satu dialog diadakan dengan AS.
“Kamu tidak boleh mengadakan dialog dengan seseorang yang sedang mengancam kamu, yang cuba menakutkan kamu.
“Suasana ketika ini tidak membolehkan dialog seumpama itu diadakan,” kata Majid. – AFP, 25 Jun, 2019.
Komen