Komputer RM144 godam fail rahsia Nasa


Fail rahsia Nasa digodam menggunakan sebuah komputer kecil Raspberry Pi. Pada masa ini siasatan sedang dijalankan. – Gambar EPA, 25 Jun, 2019.

SEORANG penggodam menggunakan komputer kecil Raspberry Pi untuk menyusup masuk jaringan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa), Jet Propulsion Laboratory, mencuri data sensitif dan menyebabkan hubungan diputuskan sementara dalam sistem ruang penerbangan, kata agensi itu.

Serangan pada April 2018 itu tidak dapat dikesan selama hampir setahun, menurut laporan audit dikeluarkan pada 18 Jun, dan satu siasatan sedang dijalankan untuk mencari pelakunya.

Raspberry Pi ialah perkakasan bersaiz kad kredit dan dijual pada harga AS$35 (RM144) dan dipasang ke televisyen di kebanyakan rumah dan biasanya digunakan untuk mengajar tentang komputer kepada kanak-kanak dan mempromosikan sistem pengkomputeran di negara-negara membangun.

Sebelum ia dapat dikesan, penyerang berjaya mengeluarkan 23 fail mengandungi hampir 500 megabait data, menurut laporan daripada ketua penyiasat Nasa.

Ia termasuk dua fail rahsia daripada misi Makmal Sains Marikh, yang mengendalikan Curiosity Rover, maklumat berkaitan eksport teknologi pertahanan dan ketenteraan AS.

“Pihak berkuasa bimbang serangan siber ini boleh sampai ke sistem misi mereka, berpotensi mendapat akses dan memulakan isyarat jahat ke misi penerbangan angkasa manusia yang menggunakan sistem itu,” kata laporan itu. – AFP, 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen