Kenapa berulang lagi, soal penduduk Pasir Gudang


Noel Achariam

Pelajar memakai topeng keselamatan di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor. Setakat ini lebih 300 murid mendapatkan rawatan kerana sukar bernafas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Jun, 2019.

SEMUA sekolah di Pasir Gudang diarahkan tutup hingga Khamis, lebih 300 kanak-kanak setakat ini mendapatkan rawatan kerana kesukaran bernafas dan muntah.

Senario mengerikan lebih tiga bulan lalu kini kembali dan penduduk Pasir Gudang kini bertanya:”Bagaimana keadaan ini boleh berlaku lagi.”

Pencemaran toksik yang terkini itu bermula di Taman Mawar minggu lalu, kira-kira 7.5km dari Sungai Kim Kim, di mana insiden pertama direkodkan berlaku pada Mac.

Dalam insiden Sungai Kim Kim, seorang warga Singapura dan dua rakyat Malaysia didakwa atas kesalahan membuang bahan kimia bertoksik di sungai berhampiran, yang menyebabkan lebih 5,000 penduduk sakit.

Kali ini, pihak berkuasa memeriksa 30 kilang kimia di kawasan itu, daripada sejumlah 265 kilang. Mereka percaya ada antara kilang itu yang bertanggungjawab menghasilkan toksik.

Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berkata toksik yang menyebabkan pelajar di Pasir Gudang sakit, akan diketahui dalam tempoh dua hari dengan pihak berkuasa melakukan pemeriksaan dalam kawasan 15km radius.

Sharuddin berkata pihaknya mengarahkan semua sekolah di Pasir Gudang ditutup hingga Khamis.

Sementara pihak berkuasa mencari jawapan, ibu bapa bimbang dengan keselamatan anak mereka yang sakit.

Siti Mariam Siam berkata beliau dan tiga anaknya terdedah kepada bau yang digambarkan seperti besi terbakar sepanjang tiga hari lepas.

“Baunya busuk dan ia menjejaskan anak lelaki saya berumur sembilan tahun dan anak perempuan enam tahun.

“Anak lelaki saya muntah lima kali dan anak perempuan saya sakit kepala,” kata Mariam, 34, kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di stadium Pasir Gudang yang dijadikan pusat perubatan sementara.

Ibu bapa di Pasir Gudang bimbang dengan keselamatan anak mereka dan hanya berkurung di rumah, sehingga keadaan selamat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 25 Jun, 2019.

Guru SMK Bandar Seri Alam itu berkata beliau juga bimbang dengan keadaan pelajar di sekolahnya.

“Beberapa pelajar jatuh sakit dan kanak-kanak di sekolah anak lelaki saya turut menerima rawatan. Kami harap pihak berkuasa dapat beri jawapan kenapa perkara ini berlaku lagi.”

Siti Mariam yang tinggal 2km dari Sungai Kim Kim percaya asap toksik itu datang dari sungai atau kilang.

“Saya tidak fikir sungai itu betul-betul bersih daripada sisa toksik.

“Ia ambil masa untuk pulih dan ia boleh juga masih tercemar,” katanya.

Seorang lagi ibu, Nurul Amira, 30, turut bimbang dengan situasi sekarang.

“Tiada siapa tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku dan apa punca pencemaran ini.

“Kita tahu insiden lepas kerana sisa toksik dibuang. Tetapi, sekarang apa pula?,” katanya.

Nurul yang membawa anak lelakinya berumur 10 tahun mendapatkan rawatan di stadium itu berkata ini kali pertama anaknya mengalami simptom berkenaan.

“Dia di sekolah dan kemudian sukar bernafas dan pening.

“Kami kemudian dimaklumkan oleh guru untuk membawanya mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

“Kami tidak tahu sama ada insiden itu berulang lagi kerana sekolahnya hanya 2km saja dari Sungai Kim Kim,” katanya.

Beliau berkata dua lagi anaknya berumur 11 tahun dan masih bayi tidak terkena.

“Saya tidak akan benarkan anak saya keluar rumah hingga isu ini diselesaikan. Saya juga risaukan bayi saya.

“Ibu bapa lain juga bimbang dan tidak benarkan anak keluar rumah untuk menjaga keselamatan mereka,” katanya. – 25 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen