IRAN hari ini berkata tiada serangan siber berjaya dibuat ke atas republik Islam itu selepas media AS melaporkan yang serangan berjaya dilancarkan minggu lepas ketika ketegangan hubungan kedua-dua negara semakin memuncak.
“Media bertanyakan tentang keseriusan dakwaan serangan siber terhadap Iran. Tiada serangan yang berjaya dibuat mereka, walaupun mereka banyak berusaha,” kata Menteri Telekomunikasi Muhammad Javad Azarari Jahromi di Twitter tanpa menyebut dakwaan serangan AS itu.
Media AS pada Sabtu melaporkan yang Washington melancarkan serangan siber terhadap sistem kawalan peluru berpandu dan perisikan Iran seminggu selepas Tehran menembak jatuh dron pengintipan AS.
The Washington Post berkata selepas tembakan dron itu, Presiden Donal Trump membenarkan Pusat Siber AS melakukan serangan balas siber terhadap Iran.
Serangan itu melumpuhkan sistem komputer kawalan roket dan peluru berpandu tetapi tidak menyebabkan kematian, menurut akhbar itu yang memetik sumber mereka yang arif tentang serangan itu.
Yahoo pula memetik dua sumber perisikan yang berkata AS mensasarkan kumpulan perisik bertanggungjawab mengesan kapal pengesan di Selat Hormuz.
Kementerian Telekomunikasi Tehran mengakui yang Iran “berdepan serangan siber- seperti Stuxnet- dan sekatan pelbagai hala”.
Virus Stuxnet ditemui pada 2010, dipercayai direka bentuk oleh Israel dan AS untuk merosakkan kemudahan nuklear di Iran.
“Tahun lepas sahaja kami menumpaskan 33 juta serangan dengan pertahanan Dejpha,” kata Azari merujuk kepada sistem pertahanan Iran.
Hubungan kedua-dua negara tegang selepas Trump tahun lepas menarik AS daripada perjanjian nuklear 2015 dengan Tehran.
Ia sampai kemuncaknya beberapa minggu lepas selepas Washington menuduh Tehran jadi dalang serangan kapal tangki di Teluk. Iran menafikan terlibat. – AFP, 24 Jun, 2019.
Komen