TINDAKAN sebuah kedai dobi layan diri di Muar mengehadkan perniagaannya kepada pelanggan orang Islam saja memalukan orang Johor yang selama ini bangga dengan masyarakat berbilang kaum dan agama, dan ia tidak sepatutnya berlaku di negara ini, kata peniaga berhampiran dobi itu.
Biarpun pemilik kedai dobi itu sudah memohon maaf dan akur dengan titah perintah Sultan Johor agar perbuatan diskriminasi itu dihentikan, apa yang berlaku itu menimbulkan kekesalan dan rasa kurang senang dalam kalangan sesetengah penduduk bandar diraja Muar.

Pemilik Kedai Kopi Heng Mui, Leo Poh Poh, 56, berkata beliau sedih melihat perkara seperti itu berlaku di Muar.
“Saya malu. Ini Muar. Sepatutnya tak boleh buat macam itu. Sebelum ini tak pernah jadi. Ini bahaya, macam nak jadi IS (pengganas militan Islamic State),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Muar antara bandar dan pekan di Semenanjung Malaysia yang masih ada kedai makan Melayu dalam kedai kopi Cina – sesuatu yang jarang dapat dilihat di banyak bandar besar di Semenanjung – tempat pelanggan pelbagai kaum duduk makan dan minum bersama.
Leo berkata selama hampir lima dekad, kedai kopinya melayan semua pelanggan tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama.
Beliau yang merupakan generasi kedua mengusahakan perniagaan keluarga itu bangga menunjukkan potret Sultan Johor ketika singgah di kedai kopinya pada Februari lalu.
“Di kedai kopi saya pun tak ada macam itu. Orang Melayu, Cina, India boleh duduk sama, makan minum sama, boleh bergurau macam adik-beradik,” katanya yang tidak faham kenapa ada peniaga boleh membeza-bezakan pelanggannya.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar semalam menitahkan pemilik kedai dobi layan diri yang memberi perkhidmatan kepada orang Islam saja itu agar memohon maaf secara terbuka, menghentikan amalan diskriminasinya atau bersedia kedainya ditutup.
Baginda bertitah perbuatannya itu memalukan orang Johor dan “Johor bukan negeri Taliban”.
Pemilik kedai dobi itu kemudian memberitahu The Malaysian Insight keputusannya mengehadkan perniagaan kepada pelanggan beragama Islam saja sebenarnya atas permintaan pelanggannya yang majoriti beragama Islam.
Pasangan suami isteri pemilik sebuah restoran berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ana dan Zam berkata apa yang berlaku itu sangat tidak wajar dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Kawasan perumahan itu campur, separuh Melayu dan Cina. Kita ini zon bandar. Kalau tidak, tak adalah namanya bangsa Johor.
“Benda ini bukan tak boleh. Boleh kalau majoriti Melayu Islam. Sekarang campur di sini Cina dan Melayu. Menyusahkan bisnes dia,” kata Zam, 48.
“Boleh ikut permintaan pelanggan tapi tak boleh nak layan semua sebab untung rugi kita yang tanggung. Sama juga macam cawan, saya berniaga takkan kita nak asingkan cawan Cina, cawan Melayu,” katanya.
Pemilik kedai papan iklan dan nombor plat yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 48, berkata teguran Sultan Johor sangat tepat dan harus jadi pengajaran kepada peniaga lain yang mungkin mahu melakukan perkara sama.
“Lain kali jangan macam ini. Lain kali fikir dulu. Sebab Malaysia ada Cina, India, Melayu sudah lama tinggal sama, sudah berapa tahun?,” katanya yang sudah 23 tahun menjalankan perniagaan di situ.
“Macam saya, kalau saya buat sewa kereta, takkan saya nak bagi bukan Islam boleh (sewa), Islam tak boleh?”
Tindakan pemilik kedai dobi itu yang kemudian tular di media sosial mendapat reaksi pelbagai daripada pengguna media sosial.
Ada yang memujinya sebagai langkah baik menjaga kesucian pakaian dicuci, ada juga mempersoalkan kewajaran pengecualian mengikut agama itu dan ada yang tertanya-tanya betul atau tidak ini berlaku di Malaysia dan wujud atau tidak sebenarnya kedai itu.
Selepas ditegur keras oleh Sultan Johor, pemilik kedai dobi itu memohon maaf kepada Sultan Johor, rakyat Johor dan seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung. Dia juga akur dengan perintah Sultan Ibrahim agar papan tanda larangan terhadap pelanggan bukan Islam itu dialihkan. – 28 September, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan