BAHAN kimia yang menyebabkan pelajar di Pasir Gudang, Johor jatuh sakit akan diketahui dalam tempoh “sehari dua lagi” lagi, kata Dr Sharuddin Jamal.
Menteri besar Johor itu berkata, pihak berkuasa dalam peringkat akhir mengenal pasti punca pencemaran itu.
“Kami sedang cuba mengenal pasti bahan kimia (punca pencemaran) dan ia akan diumumkan oleh Jabatan Kimia dalam sehari dua lagi,” katanya di Stadium Pasir Gudang hari ini.
Sejumlah pelajar dan kakitangan daripada lebih 20 sekolah sekitar Pasir Gudang dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan kerana masalah pernafasan, dan setakat ini 17 sekolah dan sembilan tadika sudah diarah tutup.
Dr Sharuddin menambah setakat hari ini, 75 mangsa dirujuk kepada Hospital Sultan Ismail dan hanya empat menerima rawatan.
“Selebihnya dalam keadaan stabil. Jabatan Alam Sekitar juga melakukan pemeriksaan pencemaran dan bacaan adalah normal,” katanya.
Tambahnya, pihak berkuasa melakukan pemeriksaan sekitar 15 km daripada kawasan terjejas dan melakukan pemeriksaan di kilang sekitar Pasir Gudang.
“Mereka sudah mengenalpasti 30 kilang yang boleh terlibat dalam pencemaran.
“Terdapat 265 kilang kimia di sini. JAS akan menyiasat dan jika ada pencemaran kimia mereka akan bertindak dan menutup kilang tersebut.”
Jelasnya lagi, pihak berkuasa juga melakukan 15 ujian darah dan keputusan negatif untuk pencemaran.
Beliau turut menafikan dakwaan yang punca pencemaran sama seperti di Sg Kim Kim.
“Setakat ini kami dimaklumkan ia tidak sama.”

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata tahap toksik tidak sama seperti berlaku di Sg Kim Kim.
“Di Sg Kim Kim mereka yang terlibat ada yang dihantar ke Unit Rawatan Rapi. Tahap (toksik) di sini hanyalah muntah-muntah dan sukar bernafas.
“Simptom ini tidak akan berada lama dalam badan, ia akan terbuang.”
Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah berkata pencemaran kali ini berbeza dengan Sg Kim Kim.
“Kami sudah proses semua bahan dari sungai tempat ia dibuang.
“Tetapi, kali ini puncanya masih disiasat. Ia boleh jadi penyakit jangkitan udara kerana gelombang haba.” – 24 Jun, 2019.
Komen