SEORANG warga AS hari ini dipenjara 12 tahun di penjara Vietnam atas pertuduhan “cuba menggulingkan kerajaan”, kata peguam dan media negara itu, ketika usaha mendiamkan pembangkang semakin hebat.
Michael Nguyen berketurunan Vietnam-AS ditahan pada Julai tahun lepas ketika melancong di negara itu bersama-sama dua aktivis yang juga ditahan.
Ketiga-tiga mereka dituduh cuba menubuhkan sebuah kumpulan untuk melancarkan pemberontakan bersenjata dan penaklukan “ibu pejabat” rasmi di Hanoi dan Ho Chi Minh, lapor media negara itu VnExpress.
Nguyen disabitkan bersalah dalam perbicaraan yang hanya berlangsung selama setengah hari di Ho Chi Minh, dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan diarahkan meninggalkan negara itu selepas menjalani hukuman, kata peguam.
Dua aktivis yang ditahan bersamanya, Tran Long Phi dan Huynh Duc Thanh Binh pula dipenjara lapan dan sepuluh tahun untuk pertuduhan sama.
“Hukuman ke atas defendan terlalu berat,” kata peguam Nguyen Van Mieng.
Media negara itu turut melaporkan polis sedang memburu seorang lelaki warga Vietnam yang mempunyai hubungan dengan Michael Nguyen.
Selepas meninggalkan Vietnam pada 1975, Michael Nguyen menetap di AS bersama-sama lebih sejuta lagi rakyat negara itu yang melarikan diri apabila komunis memerintah selepas Perang Vietnam.
Ramai keluarga pelarian menentang kerajaan komunis dari jauh, tetapi keluarga Nguyen berkata beliau tidak terlibat dalam mana-mana gerakan.
Vietnam kerap memenjara pengkritiknya sejak pentadbiran baharu pada 2016, dengan hampir 130 tahanan politik kini berada dalam penjara.
Sebuah akta keselamatan siber diperkenalkan tahun lepas memberikan kuasa besar kepada penguasa untuk memantau kandungan dalam talian, mencetuskan kecaman AS, EU dan PBB.
Akta itu menghendaki syarikat internet seperti Facebook dan Google menyerahkan data pengguna dan memadamkan kandungan daripada platform mereka sekiranya diminta kerajaan. – AFP, 24 Jun, 2019.
Komen