Pompeo tiba di Arab Saudi, bincang krisis dengan Iran


Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dijangka bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Jeddah sebelum menyertai rundingan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE). – Gambar EPA, 24 Jun, 2019.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo tiba di Arab Saudi untuk berunding dengan sekutu rapatnya itu mengenai ketegangan dengan Iran.

Pompeo dijangka bertemu Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman di Jeddah sebelum menyertai rundingan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kata pegawai.

Pemimpin Arab Saudi dan UAE menyokong pendekatan AS terhadap Iran yang menyerang dron AS minggu lepas. Tindakan Iran itu menyebabkan Presiden AS Donald Trump mengarahkan serangan sebelum mengubah fikiran.

Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari Washington, Pompeo menggelar Arab Saudi dan UAE sebagai “dua sekutu besar dalam menghadapi cabaran yang dicetus Iran”.

“Kami akan berbincang dengan mereka tentang bagaimana untuk pastikan kami semua berada di pihak yang sama dan bagaimana kami boleh membina satu pakatan global,” kata Pompeo.

Beliau berkata AS mencari pakatan “bukan hanya di kalangan negara Teluk tetapi juga di Asia dan Eropah yang memahami cabaran ini dan bersedia untuk menentang penyokong keganasan terbesar di dunia”.

Kedatangan Pompeo diteruskan meskipun terdapat kontroversi di AS berkaitan hubungan antara pentadbiran Trump dan Putera Mohamed bin Salman selepas wartawan Jamal Khashoggi dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul tahun lalu. – AFP, 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen