Nenek 81 tahun pecah rekod berbasikal keliling Britain


Mavis Paterson yang menetap di Scotland berjaya menamatkan perjalanan, bermula dari Land's End di Cornwall hingga ke John O'Groats di utara Scotland. – Gambar AFP, 24 Jun, 2019.

SEORANG warga emas berusia 81 tahun diiktiraf Guinness World Records sebagai wanita tertua menunggang basikal mengelilingi Britain sejauh 1,545 kilometer, lapor agensi berita Xinhua.

Mavis Paterson yang menetap di Scotland berjaya menamatkan perjalanan, bermula dari Land’s End di Cornwall hingga ke John O’Groats di utara Scotland.

Beliau mengambil masa selama 23 hari dan tiba di John O’Groats pada Sabtu. Beliau ditemani rakannya Heather Curley.

Paterson memutuskan untuk menyahut cabaran itu sebagai mengenang tiga anaknya, yang semuanya meninggal dunia pada usia 40-an. Usaha beliau turut membantu meningkatkan kutipan dana untuk badan amal kanser, Macmillan, mencecah hampir AS$64,000. 

Dalam akaun media sosialnya, beliau menulis: “Sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Selepas mengharungi tiga minggu perjalanan yang sukar, kami berjaya melakukannya.”

“Sangat berterima kasih atas semua sokongan, keseronokan serta persahabatan bersama dengan penunggang basikal lain yang turut menemani kami pada laluan tertentu.

“Saya sentiasa mencabar diri saya untuk melupakan kesedihan akibat kehilangan anak,” katanya ketika ditemui pemberita. – Bernama, 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen