PROSES mengeluarkan mayat daripada bangunan runtuh di Kemboja bersambung hari ini, ketika jumlah kematian setakat ini 24 orang dengan tiada lagi mangsa terselamat dijangka ditemui di bawah runtuhan bangunan tujuh tingkat itu.
Pekerja menyelamat berusaha mengorek dan mengalihkan sisa runtuhan sepanjang malam dengan Perdana Menteri Hun Sen melawat tempat kejadian di Sihanoukville, bandar di tepi pantai yang sedang dibangunkan menerusi pelaburan China.
Mayat diangkat masuk ke dalam ambulans, sementara mayat yang tersangkut dengan sisa runtuhan ditutup dengan kelambu bagi mengelak dihurung lalat.
“Kami tidak menjangkakan menemui mangsa yang selamat,” kata anggota tentera yang bertugas di tempat kejadian.
Mangsa yang terselamat berkata mereka terkejut dengan bunyi kuat dan berjaya melepaskan diri ketika bangunan itu roboh, di mana berpuluh-puluh pekerja tapak pembinaan itu terkandas di tingkat lebih atas. – AFP, 24 Jun, 2019.
Komen