Sekali lagi PM kata Azmin kekal menteri


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hadir pada pelancaran Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 Jun, 2019.

DR Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi sokongannya terhadap Mohamed Azmin Ali, berkata menteri hal ehwal ekonomi itu tidak perlu meletakkan jawatan susulan video seks gay yang didakwa membabitkan dirinya.

Perdana menteri berkata video itu yang muncul kali pertama pada 11Jun, adalah cubaan sengaja untuk memusnahkan masa depan Azmin.

“Tidak perlu dia letak jawatan. Saya tahu di beberapa negara, menteri akan letak jawatan jika ada benda berlaku, tetapi itu bukan cara kita.

“Saya tidak fikir dia sebodoh itu dan tertangkap – kecuali ada seseorang cuba menjatuhkannya,” katanya kepada media selepas pelancaran Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-20 di Kuala Lumpur hari ini.

Sejak penularan video yang menunjukkan dua lelaki sedang melakukan hubungan seks di sebuah bilik hotel muncul, Dr Mahathir berulang kali berkata Azmin yang juga timbalan presiden PKR tidak perlu meletakkan jawatannya dalam Kabinet.

Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz “mengaku” beliau salah seorang daripada lelaki dalam video berkenaan dan menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam video itu.

Menteri berkenaan kemudian menafikan dakwaan itu, dan berkata ia hanya rancangan untuk memusnahkan karier politiknya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti tidak akan menyoal siasat Azmin berhubung video itu, menyifatkan skandal itu sebagai “politik kotor”.

Haziq mencabar Azmin menyamannya berhubung video itu, tetapi peguam N. Surendran yang mewakili Azzmin berkata, anak guamnya tidak mahu melayan orang yang sekadar mahu mencari perhatian. – 24 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen